
Baru-baru ini, penyanyi terkenal, Ameng Spring mencuri perhatian selepas berjaya dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-67 Baginda.
Menurut Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail (57) berkata, beliau sengaja merahsiakan berita penganugerahan tersebut daripada orang terdekat termasuk tiga anaknya, Wan Az Aleesa, Wan Azeva Natassha dan Wan Ammar Haikal kerana tidak mahu mereka terlalu berharap sebelum semuanya benar-benar disahkan.
Selain itu, Ameng mengakui berdebar untuk menerima pingat berkenaan memandangkan istiadat penganugerahan mempunyai pelbagai protokol yang perlu dipatuhi serta pengalaman menerima pengiktirafan tersebut memberikan kepuasan tersendiri selepas melalui perjalanan panjang dalam kehidupan dan kerjaya beliau.

“Ketiga-tiga mereka tidak diberitahu langsung. Mereka ingat saya datang ke Pahang untuk jayakan event biasa. Kami tak berani nak cerita takut tak jadi. Sehinggalah sahih saya terima pingat hari ini, barulah mereka tahu,” katanya.
“Apa yang kita kerjakan selama ini selama kita hidup selama hampir 60 tahun rasa ini kemuncak dialah. Kita rasa puas hati, maknanya kita dah boleh tutup kes,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ameng turut melihat penganugerahan berkenaan sebagai satu pencapaian yang membolehkan dirinya membanggakan anak-anak, terutama selepas keluarganya pernah menjadi perhatian berikutan kisah peribadi yang dilaluinya sebelum ini.

Katanya, beliau sedar anak perempuannya, Azeva, turut berdepan komen pengguna di media sosial ketika melakukan sesi siaran langsung di media sosial, termasuk komen yang mengaitkan dirinya dengan sejarah penyalahgunaan dadah dan pernah menjalani hukuman penjara. Bagaimanapun, Ameng mahu menjadikan pengalaman tersebut sebagai peringatan bahawa seseorang tidak seharusnya terus terikat dengan kisah silam.
BACA: “Dulu Saya Seksi, Banyak Dosa” –Azeva Natassha Akui Terpengaruh Budaya Asing
Sementara itu, Ameng menegaskan gelaran Datuk yang diterimanya tidak akan mengubah cara dia menjalani kehidupan atau berinteraksi dengan masyarakat. Beliau masih mahu menghasilkan kandungan hiburan dan bergurau seperti biasa, namun lebih menitikberatkan soal penampilan khususnya ketika membuat persembahan.
Pada masa yang sama, Ameng juga mahu menjaga imej serta menghormati pengiktirafan yang diterimanya dengan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi Istana. Baginya, kejayaan tersebut bukan sekadar gelaran, sebaliknya menjadi simbol bahawa seseorang masih mampu bangkit dan mencapai sesuatu selepas melalui pelbagai cabaran dalam hidup.
Sumber: Harian Metro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








