Amani Amri Cipta Sejarah! Berjaya Raih Ijazah Kelas Pertama & Terima Anugerah Whittington Prize

Share

Terbaru, seorang anak Malaysia sekali lagi berjaya mencipta sejarah tersendiri dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Bersepadu dalam Kejuruteraan Elektronik dan Elektrik di University of Edinburgh dengan memperoleh sijil Kepujian Kelas Pertama.

Menurut perkongsian dari laman Facebook Pejabat MARA London dan Ireland, pencapaian ini diraih oleh alumni Kolej MARA Banting (KMB) iaitu Amani Binti Amri. Apa yang lebih membanggakan, pencapaian ini turut disertai dengan penerimaan Whittington Prize, sebuah pengiktirafan berprestij yang hanya diberikan kepada pelajar terbaik dalam bidang Kuasa Elektrik. 

“Kejayaan Amani lebih manis apabila beliau turut menerima Whittington Prize, pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada pelajar terbaik dalam bidang Electrical Power,” tulisnya.

Kredit foto: FB Pejabat MARA London & Ireland

Dalam pada itu, anugerah ini juga membuktikan Amani bukan sekadar pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi juga unggul dalam bidang kepakarannya.

Selain itu, kejayaan ini mengangkat martabat pelajar tajaan MARA di pentas global, sekaligus menepis keraguan bahawa pelajar tempatan tidak mampu bersaing dengan graduan terbaik dunia. Ia turut membuktikan usaha gigih dan semangat juang mampu membuka ruang yang luas di persada antarabangsa.

Pada masa yang sama, gadis muda ini bakal memulakan kerjaya profesional sebagai ‘Graduate Energy Engineer’ di Arup Malaysia iaitu sebahagian daripada Arup Group yang berpangkalan di London.

“Pencapaian tersebut sekaligus mengangkat nama pelajar tajaan MARA di pentas antarabangsa dan membuktikan keupayaan mereka bersaing dengan pelajar terbaik dunia,” jelas perkongsian itu lagi.

Kredit foto: FB Pejabat MARA London & Ireland

Sementara itu, menurut Amani, beliau jelas melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya dengan penuh potensi dan visi masa depan. Usaha kerasnya juga akhirnya berbaloi dan berjaya memberi hasil yang setimpal walaupun terpaksa berdepa dengan  laluan akademik yang penuh cabaran.

Intihanya, kejayaan ini bukan sekadar milik Amani, tetapi juga inspirasi buat generasi muda Malaysia untuk mencontohi kecemerlangan, keberanian, dan semangat tidak pernah berputus asa dalam mengejar ilmu serta impian.

Syabas kami ucapkan!

Sumber artikel & foto: FB Pejabat MARA London & Ireland

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE