
Baru-baru ini, ibu kepada Allahyarham Muhammad Zahran Mohd Zuraidi yang tular di media sosial selepas mendermakan organ beliau meluahkan rasa reda atas pemergian anak sulungnya, meskipun kehilangan itu cukup besar buat keluarga.
Memetik laporan Sinar Harian, Suzita Ab Halim berkata, anaknya yang berusia 21 tahun itu meninggal dunia pada 23 Mac lalu di Hospital Selayang selepas disahkan mengalami mati otak akibat kemalangan jalan raya.
Jelas beliau, kejadian tersebut berlaku pada 18 Mac sekitar jam 9.35 pagi ketika arwah dalam perjalanan pulang selepas menamatkan syif kerja malam di sebuah syarikat automotif. Arwah yang menunggang motosikal secara bersendirian dipercayai melalui laluan pintasan Rawang sebelum terlibat dalam kemalangan.
“Tiada saksi ketika kejadian. Orang awam jumpa dia sudah terbaring di atas jalan, tetapi ketika itu dia masih sedar”
“Difahamkan sebelum kejadian, dia sempat mengambil barang sebelum pulang ke rumah dan melalui laluan tersebut,” katanya.
Suzita menggambarkan anak sulung daripada empat beradik itu sebagai seorang yang ceria, bertanggungjawab dan sangat menyayangi keluarga, khususnya adik-adiknya. Malah, arwah juga dikenali sebagai individu yang ringan tulang dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan.
Tambahnya lagi, hasrat untuk menderma organ pernah disuarakan oleh Allahyarham Zahran ketika bulan Ramadan, sekaligus menunjukkan keperibadiannya yang penuh empati terhadap orang lain.
Di samping itu, sebagai ibu bapa, Suzita dan suaminya bersetuju serta menghormati niat murni tersebut, walaupun mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah dan dibuat demi meneruskan legasi kebaikan arwah.
Lebih menyentuh hati, Suzita turut berkongsi bahawa pengorbanan anaknya itu menjadi hadiah hari lahir paling bermakna buat dirinya pada 25 Mac lalu, apabila organ yang didermakan seperti hati, ginjal, kornea dan jantung memberi peluang kehidupan baru kepada insan lain.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.