Sukan

Aliff Rakib Hadiahkan Rumah RM1 Juta Buat Ibu Bapa Selepas Cipta Sejarah Di ONE Championship

Share

Jaguh Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib baru-baru ini meraih perhatian selepas menghadiahkan sebuah rumah banglo bernilai RM1 juta kepada kedua-dua ibu bapanya sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan dan sokongan mereka sepanjang perjalanan kariernya dalam sukan berkenaan.

Menerusi sebuah perkongsian di media sosial, atlet yang kini berusia 22 tahun itu berkata, kejayaan yang diraihnya di pentas antarabangsa bukan sekadar tentang gelaran juara, sebaliknya turut memberi peluang kepadanya merealisasikan impian untuk membalas jasa ibu dan ayahnya.

“Hasrat saya ialah untuk membanggakan mereka. Selain membawa mereka pergi umrah, sekarang saya dapat beli rumah untuk mereka,” katanya. 

Difahamkan, rumah yang terletak di Rantau Panjang itu dibeli menggunakan wang simpanan hasil kerjayanya sebagai atlet Muay Thai dan kini sudah siap untuk didiami. Malah, satu majlis kesyukuran turut dirancang sempena perpindahan keluarganya ke kediaman baharu tersebut.

Hadiah istimewa itu hadir tidak sampai sebulan selepas Aliff Rakib mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang merangkul tali pinggang dunia dalam ONE Championship. Beliau mencatat kemenangan menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima ke atas legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, dalam pertarungan di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Kemenangan berkenaan menyaksikan Aliff Rakib dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, sekaligus menjadi kemuncak kepada perjalanan panjangnya membina karier profesional di Bangkok. Sebelum mencapai tahap tersebut, anak kedua daripada empat beradik itu telah melalui bertahun-tahun latihan serta persaingan sengit bagi mengukuhkan namanya di pentas antarabangsa.

Lebih membanggakan, kejayaannya dalam gelanggang turut membuka ruang kepada kehidupan yang lebih baik buat keluarganya apabila beliau memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (sekitar RM408,996). Namun, di sebalik pencapaian dan ganjaran yang diterima, Aliff Rakib memilih untuk menggunakan sebahagian hasil kerjayanya bagi membahagiakan insan yang menjadi sumber kekuatannya sejak awal.

Selain menghadiahkan rumah, Aliff Rakib turut menyimpan hasrat untuk membawa ibu bapanya, Suriawati Che Wook (46), dan Rakib Ahmad (52), menunaikan ibadah umrah. Pada masa sama, beliau turut berkongsi bahawa dirinya bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang berasal dari Thailand dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Aliff Rakib kini menyasarkan satu lagi pencapaian besar apabila berhasrat menyatukan gelaran dengan mencabar juara dunia mutlak strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai. Semangat itu memperlihatkan bahawa kejayaan pertama bukanlah noktah, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Sumber: Facebook Aliff Rakib

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE