
Penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal, Alif Satar baru-baru ini meraih perhatian apabila berkongsi khabar gembira mengenai kelahiran cahaya mata keempatnya yang juga seorang bayi perempuan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar (36) meluahkan rasa syukur atas kehadiran puteri ketiganya itu yang diberi nama Aleyya Fajr.
Pada masa yang sama, berita tersebut turut dikongsikan oleh Alif menerusi platform Threads, sekaligus menjawab persoalan peminat mengenai jantina dan nama bayi berkenaan selepas kelahirannya pada Hari Raya kedua lalu.
Menurut Alif, nama Aleyya dipilih bersempena waktu kelahiran anaknya itu iaitu ketika fajar, yang membawa makna cukup indah dan penuh simbolik.
“Nama kamu dipilih bersempena waktu kelahiran kamu iaitu ‘fajar yang mulia’,” ucapnya.
“Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Semoga hidup kamu sentiasa di bawah jagaan dan petunjuk-Nya,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Lelaki Seperti Aku’ tersebut turut menzahirkan komitmennya sebagai seorang bapa untuk sentiasa berada di sisi anaknya.
“Daddy akan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk sentiasa ada di sisimu,” tambah Alif.
Terdahulu, Alif berkongsi berita kelahiran tersebut selepas isterinya, Shadila Halid selamat melahirkan bayi perempuan mereka pada Hari Raya kedua iaitu pada 22 Mac lalu.
BACA: ‘Tidur Awal, Subuh Di Masjid…’ – Alif Satar Kongsi Rutin Pagi Bawa Ketenangan Hidup
Untuk rekod, Alif dan Shadila mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014 dan hasil perkahwinan itu, pasangan ini turut dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, Ariana Mecca dan Muhammad Ali.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.