
Penyanyi terkenal asal Indonesia, Datuk Seri Rossa baru-baru ini mencuri perhatian apabila berkongsi momen mengharukan apabila anak lelaki kesayangannya berjaya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di salah satu universiti di Indonesia.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani berkongsi khabar gembira bahawa puteranya, Rizky Langit Ramadhan (19) lulus diterima sebagai seorang mahasiswa di Universitas Padjadjaran (UNPAD).
Difahamkan, anak kepada pelantun lagu ‘Hey Ladies’ yang kini berusia 19 tahun itu bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Hubungan Internasional di Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP).
“Alhamdulillah, selamat Kaka,” tulis Rossa.
Dalam video yang sama, Rizky pada awalnya kelihatan agak tegang bagi menunggu keputusan di hadapan komputer ribanya. Namun, setelah mengetahui keputusan, beliau dengan gembira melompat dan memeluk kedua ibu dan bapanya, Yoyo Padi selepas menerima tawaran itu.
Pada masa yang sama, di ruangan komen, ramai peminat dan rakan selebriti turut menzahirkan ucapan tahniah selain terharu melihat momen yang dikongsikan oleh Rossa.
Sekadar info, Rossa dan Yoyo bergelar suami isteri pada tahun 2004 dan dikurniakan cahaya mata pada tahun 2006. Namun, hubungan mereka hanya mampu bertahan selama lima tahun dan berpisah pada Julai 2009.
Walaupun begitu, kini hubungan mereka semakin baik selain lebih memberikan fokus terhadap anak tunggal mereka, Rizky Langit Ramadan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.