Berita

Alex Honnold Cipta Sejarah Free Solo Di Taipei 101 Tanpa Tali Keselamatan

Share

Pendaki tebing terkenal dari Amerika Syarikat, Alex Honnold, sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melakukan pendakian free solo di Taipei 101 tanpa tali keselamatan, abah-abah atau sebarang peralatan perlindungan.

Aksi berisiko tinggi itu berlangsung pada Ahad lalu dan mencuri perhatian dunia pendakian ekstrem.

Pencapaian ini menjadikan Alex Honnold individu pertama yang berjaya menawan bangunan ikonik setinggi 508 meter itu secara free solo sepenuhnya, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pendaki paling berani dan berdisiplin di dunia.

Pendakian ekstrem di Taipei 101 itu mengambil masa kira-kira 90 minit. Honnold memulakan pergerakan dari bahagian bawah bangunan sebelum memanfaatkan bongkah kecil berbentuk L di sudut struktur sebagai tapak kaki, sambil menarik badannya ke atas menggunakan tangan kosong.

Tanpa sebarang tali keselamatan, setiap pergerakan memerlukan ketepatan mutlak dan kawalan mental yang tinggi.

Kesilapan kecil boleh membawa akibat yang fatal, menjadikan pendakian ini antara aksi paling berbahaya pernah dilakukan dalam persekitaran bandar.

Aksi Alex Honnold menjadi semakin mencabar apabila beliau memasuki bahagian tengah bangunan di sekitar tingkat ke-64, yang dikenali sebagai ‘kotak buluh’.

Segmen ini dianggap paling teknikal kerana struktur bangunan yang tidak sekata dan curam.

Setiap lapan tingkat memerlukan pendakian menegak sebelum diselangi balkoni kecil yang hanya cukup untuk rehat singkat. Bahagian ini menguji ketahanan fizikal dan mental Honnold sebelum beliau meneruskan pendakian ke puncak.

Sorakan Penonton Dan Siaran Langsung Netflix

Sorakan orang ramai yang berkumpul di peringkat jalan bergema apabila Alex Honnold akhirnya berjaya tiba di puncak Taipei 101.

Sebagai tanda kejayaan, beliau melambai kedua-dua tangannya ke udara, disambut dengan tepukan gemuruh dan jeritan kagum daripada penonton.

Pendakian bersejarah itu turut disiarkan secara langsung menerusi Netflix dengan selaan siaran selama 10 saat.

Siaran tersebut pada asalnya dijadualkan sehari lebih awal, namun terpaksa ditangguhkan selama 24 jam akibat hujan yang menjadikan permukaan bangunan terlalu licin dan berbahaya.

Rekod Baharu Berbanding Pendakian Terdahulu

Taipei 101 bukanlah asing dalam dunia pendakian ekstrem. Bangunan ini pernah ditawan oleh pemanjat tembok terkenal dari Perancis, Alain Robert atau ‘Spiderman Perancis’, pada Hari Krismas 2004.

Namun begitu, pendakian Alex Honnold mencipta rekod baharu kerana dilakukan secara free solo sepenuhnya tanpa sebarang perlindungan keselamatan, satu pencapaian yang belum pernah direkodkan sebelum ini di bangunan tersebut.

Alex Honnold, yang kini berusia 40 tahun, bukan nama asing dalam dunia pendakian ekstrem. Beliau meraih perhatian global pada 2017 selepas berjaya memanjat El Capitan di Taman Negara Yosemite tanpa tali, satu pencapaian luar biasa yang dirakam dalam dokumentari terkenal Free Solo.

Berbeza dengan kebiasaan beliau memanjat di kawasan terpencil, kehadiran ratusan penonton di pekarangan Taipei 101 memberikan pengalaman yang berbeza.

“Apabila saya mula meninggalkan tanah, ia agak mendebarkan kerana terlalu ramai orang memerhati,” katanya.

Menurut Honnold, sokongan orang ramai menjadikan keseluruhan pengalaman lebih bermakna walaupun tekanan dirasai. Namun, aksi ini turut mencetuskan perbincangan hangat mengenai etika pendakian ekstrem secara siaran langsung.

Perdebatan itu menjadi lebih ketara memandangkan Alex Honnold kini bergelar suami dan bapa kepada dua orang anak perempuan. Walau apa pun pandangan yang timbul, pendakian free solo di Taipei 101 ini sekali lagi mengukuhkan legasi beliau sebagai ikon pendakian ekstrem dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Darwisy