
Pasangan selebriti terkenal, Al Ghazali dan Alyssa Daguise baru-baru ini berkongsi khabar gembira selepas isterinya selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada pagi Ahad. Berita tersebut sekaligus membuatkan pasangan popular Indonesia itu kini rasmi bergelar ibu dan bapa.
Menerusi sebuah gambar yang dimuat naik di Instagram, Al Ghazali atau nama sebenar Ahmad Al Ghazali Köhler (29) meluahkan rasa syukur selepas isterinya selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Soleil Zephora Ghazali.
Dalam kapsyen yang dikongsikan, Al turut berasa terharu apabila kehadiran puteri sulung mereka disifatkan sebagai anugerah paling bermakna dalam hidupnya bersama Alyssa.
“Soleil Zephora Ghazali. Selamat datang ke dunia, puteri cantik kami. Hari ini dunia terasa lebih lembut, lebih indah dan lebih bermakna kerana akhirnya kamu berada dalam dakapan kami”
“Soleil, kamu telah memenuhi hati kami dengan cinta yang begitu mendalam sehingga terasa tiada penghujung. Kamu adalah doa yang dimakbulkan, anugerah terindah dan cahaya matahari kami selamanya,” katanya.
“Mama dan Ayah sayang kamu lebih daripada apa yang mampu digambarkan dengan kata-kata. Alhamdulillah,” ujarnya lagi.
Difahamkan, Alyssa selamat melahirkan bayi mereka sekitar pukul 8.16 pagi waktu tempatan selepas beberapa hari lewat daripada tarikh jangkaan bersalin yang berada antara penghujung April hingga 7 Mei lalu. Model berusia 28 tahun itu bersama bayi sulungnya juga dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Sebelum ini, Alyssa sempat berkongsi bahawa dia mengalami kontraksi selama dua hari namun masih belum bersalin ketika itu. Menjawab pertanyaan peminat mengenai perkembangan terkini, dia meminta semua pihak untuk bertenang selain memaklumkan sedang memberi fokus kepada proses kelahiran.
Sementara itu, di media sosial, ramai daripada rakan selebriti dan para peminat membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan mendoakan agar puteri sulung pasangan itu membesar dengan sihat.
Kelahiran bayi perempuan itu turut membawa kegembiraan buat keluarga besar mereka termasuk penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani dan Maia Estianty yang kini bergelar datuk dan nenek kepada cucu pertama mereka.
Sumber: Instagram Al Ghazali
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.