[Al Fatihah] Lebih 30 Tahun Pengalaman Dalam Bidang Kewartawanan, Raja Nurfatimah Mawar Meninggal Dunia

Share

Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Raja Nurfatimah Mawar Mohamed menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Sungai Long, Kajang pada hari Ahad selepas mengadu sakit dan sukar bernafas.

Allahyarham, 49 dibawa ke Hospital Kajang selepas meninggal dunia kira-kira jam 2 petang untuk proses bedah siasat dan dijangka akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang.

Pemergian Allahyarham cukup dirasai dalam kalangan warga dunia kewartawanan tempatan yang pernah bekerjasama dengan beliau yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang tersebut.

Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Memulakan kerjaya sebagai seorang wartawan sambilan Berita Harian di Biro BH Kuala Terengganu ketika berusia 18 tahun, beliau kemudiannya meneruskan minatnya apabila menerima tawaran sebagai wartawan Harian Metro.

Sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat dalam dunia kewartawanan, Allahyarham pernah bertugas di bawah unit-unit berbeza termasukalh unit berita, jenayah dan hiburan di Harian Metro serta Berita Harian.

Namun, rata-rata mengenali Allahyarham secara lebih dekat apabila beliau berkhidmat sebagai seorang wartawan hiburan di mana banyak temubual eksklusif berjaya direalisasikan di bawah penyelarasan beliau.

Antaranya termasuklah temubual bersama sahabat rapatnya yang juga merupakan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan temubual mengenai penderitaan penyanyi veteran, Sahara Yaacob yang mengejutkan peminat tempatan.

Allahyarham juga merupakan salah seorang figura yang bertanggungjawab dalam menjayakan acara Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian yang cukup dinanti-nantikan pada setiap edisi.

Berbekalkan minat dan dedikasi beliau terhadap dunia kewartawanan, Allahyarham menempa kejayaan di Anugerah Kecemerlangan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) 2017 apabila membawa pulang Anugerah Penulis Pojok Terbaik. Ia dimenanginya menerusi artikel dalam ruangan Desas Desus akhbar Berita Harian berjudul Beginikah Perilaku Penggiat Seni. 

SUMBER: (1)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
FZ