
Penyanyi yang sedang meningkat naik, Aisha Retno baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau mengambil inisiatif terbang ke Solo, Indonesia bagi mendalami seni dan budaya Jawa sebagai persediaan menjayakan watak Gusti Puteri dalam Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical).
Menerusi sebuah program di Astro Awani, Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam (26) berkata, kunjungannya ke Solo pada penghujung Jun lalu memberi peluang untuk berguru dengan individu yang lebih arif mengenai adat, kesenian serta budaya masyarakat Jawa.
Menurutnya, persediaan tersebut bukan sekadar tertumpu kepada aspek lakonan, sebaliknya melibatkan pembelajaran terperinci mengenai gerak tari, cara berjalan, teknik pernafasan, duduk serta adab ketika berinteraksi bagi memastikan setiap pergerakan yang ditampilkan selari dengan karakter seorang puteri Jawa.
“Kami mengambil masa selama beberapa hari dan masing-masing mencari kelapangan untuk terbang ke sana serta berguru dengan mereka yang lebih arif,” katanya.
“Salah satu inisiatifnya adalah pergi ke tempat asal sesebuah watak itu untuk belajar dengan lebih mendalam,” ujarnya lagi.
Lebih menarik, perjalanan ke Solo itu turut mempunyai nilai sentimental buat Aisha memandangkan ibunya berasal dari daerah berkenaan. Dalam masa sama, pelantun lagu ‘Jeda’ dan ‘Tak Adil’ itu yang pertama kali menyertai teater muzikal perlu menjalani latihan intensif selama tiga bulan merangkumi lakonan, nyanyian dan tarian.
Menggalas watak yang pernah dilakonkan Puan Seri Tiara Jacquelina, Aisha mengakui tanggungjawab tersebut bukan sesuatu yang ringan, apatah lagi watak Gusti Puteri sudah begitu sinonim dengan lakonan terdahulu. Namun, beliau memilih untuk menjadikan perbandingan sebagai dorongan dalam memberikan persembahan terbaik.
“Perbandingan dalam industri adalah perkara biasa. Saya fikir ia boleh menjadi pemangkin dan penyemangat untuk kita memberikan yang terbaik,” jelasnya.
BACA: Aisha Retno Menangis Bukan Kerana Kecewa, Lega Dapat Bawa Adik Bersama Ke Pentas AJL40
Sementara itu, bagi Aisha, Gusti Puteri bukan sekadar watak ikonik dalam sebuah karya, sebaliknya figura yang menggambarkan perjuangan seorang wanita dalam mengejar cinta dan kebebasan. Pengalaman menghidupkan karakter tersebut juga mengajarnya untuk menjadi lebih berani, cekal dan berdisiplin.
Untuk info, PGL The Musical arahan Tiara Jacquelina bakal dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Petaling Jaya, Selangor.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.