Hiburan

“Sampai Ke Liang Lahad Saya Bangga Darah Malaysia-Indonesia” – Aisha Retno

Share

Penyanyi Aisha Retno menegaskan dirinya tidak pernah sesekali melupakan akar budaya Malaysia meskipun turut mempunyai darah Indonesia.

Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizan, 26, berkata dia sentiasa berbangga membawa kedua-dua identiti tersebut dan menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada dirinya yang tidak seharusnya dipertikaikan.

“Saya rasa isu ini sebenarnya pandangan peribadi saya dan tidak perlu diperbesar-besarkan sebab sampai ke liang lahad pun saya bangga mempunyai darah Malaysia dan Indonesia.

“Apa yang Aisha tunjukkan selama ini adalah Aisha ada kedua-duanya, Malaysia dan Indonesia. Jadi, tiada siapa boleh kata sebaliknya,” katanya.

Aisha Retno Bangga Bawa Budaya Malaysia

 Menurut Aisha, sepanjang perjalanan seninya, dia juga banyak mengetengahkan elemen budaya Malaysia termasuk menerusi muzik dan sambutan perayaan.

Malah, pelantun lagu Sutera itu tidak pernah malu untuk menonjolkan identiti tersebut kepada khalayak.

“Aisha sangat bangga membawa budaya Malaysia. Macam Lebaran Aisha, Hari Raya dan Aisha juga ada banyak lagu joget, termasuk bersama Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

“Semua itu budaya Malaysia yang Aisha sangat sayang.

“Pada masa sama, Aisha juga ada sisi Indonesia yang Aisha sayang dan sangat passionate dengan budaya mereka,” jelasnya.

Tidak Mahu Pilih Antara Malaysia Dan Indonesia

Mengakui kadangkala berdepan situasi apabila masyarakat mahu meletakkannya dalam satu identiti tertentu, Aisha Retno melihat kedudukannya sebagai individu berdarah campuran dua negara serumpun sebagai satu keistimewaan.

“Risikonya apabila menjadi ‘mixed blood’ daripada dua negara serumpun ini, kadang-kadang orang akan tanya kita nak pilih yang mana satu.

“Tapi Aisha nak kedua-duanya. Jadi, Aisha berada di tengah-tengah dan cuba membawa keamanan. Saya rasa tidak ada masalah dengan perkara itu,” katanya.

Aisha Retno Akan Lebihkan Penggunaan Bahasa Melayu

Dalam pada itu, Aisha memahami bahawa sebagai anak seni yang bergerak di platform Malaysia, dia perlu lebih peka terhadap penggunaan bahasa ketika berkomunikasi dengan peminat tempatan.

Justeru, dia akan cuba memperbanyakkan penggunaan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris dalam penampilan dan kandungannya di Malaysia.

“Platform Aisha adalah platform Melayu, platform Malaysia. Jadi, Aisha akan cuba lebihkan lagi bercakap dalam bahasa Melayu.

“Malah sebelum ini pun Aisha pernah highlight dalam Big Stage yang Aisha cuba sebaik mungkin untuk kurangkan penggunaan bahasa Inggeris.

“Kalau di Indonesia pula, Aisha akan cuba lebihkan penggunaan bahasa Indonesia di sana,” katanya.

Sebelum ini, Aisha Retno menerima kecaman segelintir netizen selepas menggunakan dialek Indonesia ketika muncul dalam sebuah kandungan video YouTube bersama penyanyi Wani Kayrie menerusi cabaran menyambung lirik lagu irama Malaysia.

Bagaimanapun, Aisha berharap masyarakat dapat memahami bahawa kecintaannya terhadap budaya Indonesia tidak pernah bermaksud dia mengetepikan identiti Malaysia, sebaliknya kedua-duanya merupakan sebahagian daripada latar belakang keluarga dan dirinya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy