Gaya Hidup

Aisar Khaled Beraya Di Rumah Mewah Dua Tingkat Baharu Di Jakarta Pada Usia 25 Tahun

Share

Pempengaruh terkenal dari Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan peminat di Indonesia, Aisar Khaled mengecapi satu lagi kejayaan manis bersempena bulan Ramadan tahun ini.

Aisar Khaled.

Di sebalik kesibukan menghasilkan pelbagai projek dan kandungan baharu di platform media sosial miliknya, anak muda berusia 25 tahun ini tidak pernah melupakan impian peribadinya untuk memiliki sebuah kediaman sendiri di kota Jakarta.

Impian tersebut akhirnya menjadi kenyataan apabila Aisar Khaled berjaya membeli sebuah kediaman mewah Jakarta yang kini menjadi tempat untuk dinikmati bersama ahli keluarga tercinta.

Moden Tropikal Jadi Pilihan

Menerusi perkongsiannya, sebuah rumah dua tingkat dengan berkonsepkan moden tropikal berjaya dimiliki hasil titik-peluhnya selama ini. Sekali imbas, ia kelihatan persis sebuah vila mewah di pulau peranginan Bali!

Kediaman ini didominasi oleh warna-warna bumi yang menenangkan seperti putih, hitam dan kelabu. Padanan warna tersebut bersama kemasan dalaman yang elegan memberikan nuansa mewah serta moden kepada keseluruhan rumah.

Gabungan warna yang dipilih juga menjadikan kediaman tersebut kelihatan ‘timeless’ dan sesuai untuk didiami dalam jangka masa panjang tanpa kelihatan lapuk ditelan trend.

Meninjau ke ruangan di dalam rumah pula, Aisar dilihat lebih menggemari konsep open living. Susun atur ini membolehkan ruang kediaman kelihatan lebih luas dan tidak terlalu ‘sesak’ dengan perabot berlebihan.

Hanya beberapa bahagian rumah dijadikan ruang berkumpul, manakala bahagian tengah kediaman dibiarkan kosong bagi memudahkan pergerakan penghuni.

Pendekatan ini bukan sahaja memberikan keselesaan, malah menjadikan rumah tersebut sesuai untuk menerima kunjungan tetamu dalam jumlah yang ramai.

Halaman Rumah Luas

Selain reka bentuk dalaman yang moden, kediaman mewah Aisar Khaled ini turut dilengkapi dengan kolam renang luas serta halaman rumah di bahagian belakang yang cukup selesa.

Kawasan ini membolehkan Aisar dan ahli keluarganya meluangkan masa bersama sambil melakukan pelbagai aktiviti harian.

Baru-baru ini sempena bulan Ramadan, Aisar rajin memuat naik kandungan memasak bersama ibunya di halaman rumah tersebut.

Dengan berlatar belakangkan kolam renang, mereka menyediakan juadah berbuka puasa yang kemudiannya diagihkan kepada orang ramai. Kehadiran halaman rumah yang luas menjadikan aktiviti tersebut lebih mudah dilakukan.

Suasana santai dan penuh kekeluargaan itu juga menarik perhatian ramai pengikutnya di media sosial.

Semuanya Untuk Ibu Tercinta

Bagi Aisar, tiada yang lebih menggembirakan hati seorang anak selain dapat menyambut ibu tercinta di kediaman baharu, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Rumah sudah ada, tapi kamu masih belum ada.”

Catitan oleh Aisar ini di hantaran tersebut turut mencuit perhatian pengikutnya yang mengikuti perkembangan kehidupan Aisar di Indonesia. Adakah ini indikasi Aisar untuk bersedia melangkah ke fasa ‘berdua’ pula? Hehe…

Tak sabar pula untuk melihat bagaimana Aisar akan transformasikan kediaman tersebut menjelang lebaran yang akan tiba tidak lama lagi. Pastinya lebih ramai ahli keluarga Aisar yang bakal berkunjung dan suasana akan berubah menjadi lebih meriah lagi.

Tahniah Aisar Khaled di atas satu lagi jilid sukses dalam kehidupannya di Indonesia!

Pencapaian ini sekali lagi membuktikan kerja keras serta usaha berterusan mampu membawa seseorang mencapai kejayaan pada usia muda.

FOTO: Instagram // aisar_khaledd

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ