Berita

AirAsia Perkenal Polisi Seragam Lebih Inklusif, Benarkan Pramugari Berhijab Mulai Ramadan 2026

Share

AirAsia melakar satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara apabila mengumumkan polisi seragam baharu yang lebih inklusif, membenarkan kru kabin wanita memilih untuk berhijab ketika bertugas. Langkah progresif itu dijadualkan berkuat kuasa pada suku pertama 2026, bertepatan dengan bulan Ramadan.

Menurut kenyataan rasmi syarikat penerbangan tambang rendah tersebut, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada pekerja serta komitmen AirAsia untuk mewujudkan suasana kerja yang meraikan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.

Seragam baharu itu akan mengekalkan identiti korporat AirAsia dengan tema merah ikonik, manakala opsyen hijab dan seluar disediakan bagi kakitangan wanita Muslim yang memilih penampilan lebih sopan dan menutup aurat.

AirAsia menegaskan bahawa perubahan itu bersifat pilihan dan bukan paksaan, seiring pendirian syarikat yang berpaksikan prinsip “people-first”. Syarikat itu yakin pemberian opsyen berkenaan akan meningkatkan keyakinan dan keselesaan kru kabin tanpa menjejaskan standard profesionalisme atau piawaian keselamatan yang telah lama menjadi keutamaan dalam operasi mereka.

Sebelum ini, seragam berhijab hanya digunakan untuk laluan tertentu seperti destinasi ke Jeddah, namun peluasan polisi ini membolehkan kru Muslim mengenakannya di semua destinasi AirAsia tanpa kekangan.

Rekaan seragam baharu itu turut dijelaskan sebagai sejajar dengan imej profesional syarikat, dengan penekanan terhadap keselesaan, kesopanan dan keterampilan yang seragam.

BACA JUGA: British Airways Perkenal Uniform Baru, Jumpsuit Dan Tunik Siap Ada Pilihan Wanita Bertudung

Langkah tersebut menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak, khususnya kerana ia dilihat selaras dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang menghormati amalan agama dan gaya hidup masyarakatnya.

AirAsia dalam kenyataannya menambah bahawa polisi seragam yang lebih inklusif bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan dalaman, tetapi juga mencerminkan aspirasi syarikat untuk bergerak seiring perkembangan sosial dan nilai masyarakat masa kini.

Dengan pengumuman ini, AirAsia sekali lagi membuktikan kesungguhan mereka untuk menjadi jenama penerbangan yang relevan, progresif dan peka terhadap keperluan tenaga kerjanya, selain terus mengekalkan reputasi sebagai syarikat penerbangan pilihan rakyat Malaysia.

++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen