
Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan, bakal menawan kembali hati peminat di Malaysia menerusi persembahan eksklusif Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur. Persembahan istimewa ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi juga simbol sambutan rasmi kepada pelancaran album terbarunya berjudul Retrospektif.
Makna Di Sebalik Album Retrospektif
Menurut Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, pemilihan judul album Retrospektif bukan sekadar untuk menarik perhatian, sebaliknya membawa makna yang mendalam dalam perjalanan seninya.
“Retrospektif bagi saya ialah peluang untuk menoleh ke masa lalu, belajar daripada pengalaman dan menjadikannya panduan untuk terus berkembang”
Tambahnya lagi, “Album ini lahir daripada refleksi saya terhadap beberapa bulan terakhir perjalanan hidup saya dan ia benar-benar mewakili idea itu,” katanya.

Kembali Ke Akar Muzik Pop Indonesia
Menariknya, Retrospektif juga menandakan kembalinya Afgan ke akar muzik pop Indonesia selepas tujuh tahun tanpa album penuh berbahasa Indonesia. Keputusan ini disifatkan sebagai langkah berani dan penuh makna dalam kerjaya seninya.
Kuala Lumpur Pentas Istimewa
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai kota pementasan Afgan Retrospektif Showcase bukanlah kebetulan. Afgan mengakui bahawa kota ini sudah seperti rumah kedua baginya.
“Zepp Kuala Lumpur sesuai dengan konsep pertunjukan kali ini kerana memberikan suasana yang lebih intim dan kasual, seiring dengan konsep album muzik yang lebih organik dan tulen,” ujarnya dengan penuh semangat.



Persembahan Penuh Emosi Buat Peminat
Sepanjang malam persembahan nanti, Afgan bukan sahaja akan mempersembahkan lagu-lagu dari album Retrospektif dalam susunan muzik asal, tetapi juga membawa lagu-lagu hits lamanya yang sentiasa dekat di hati peminat.
Menurut pihak penganjur, Renjana Idea, pertunjukan ini bukan sekadar konsert biasa tetapi sebuah perjalanan emosi yang bakal meninggalkan kesan mendalam buat penonton. Mereka meluahkan keterujaan membawa Afgan kembali ke panggung Malaysia selepas penampilan terakhirnya pada Disember tahun lalu.


Bagi peminat setia Afgan, tiket untuk Afgan Retrospektif Showcase kini boleh didapatkan menerusi laman golive-asia.com dengan harga bermula dari RM358 hingga RM1398. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan eksklusif ini yang pasti menggamit nostalgia dan menyentuh hati.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















