Hiburan

Kontrak Eksklusif Jadi Pertaruhan, ADOR Saman Danielle NewJeans 33.1 Bilion Won

Share

Terbaru, ADOR iaitu sebuah label di bawah naungan syarikat hiburan dan teknologi terkenal HYBE, telah memfailkan saman terhadap ahli kumpulan NewJeans, Danielle atau nama sebenar Danielle June Marsh (21), dengan tuntutan penalti dan ganti rugi berjumlah 33.1 bilion Korea Won (kira-kira RM92.6 juta) susulan penamatan kontrak eksklusif yang dimaklumkan oleh artis tersebut pada November lalu.

Menurut sumber industri hiburan pada 9 Januari lalu, ADOR menuntut 30 bilion won sebagai penalti kontrak serta tambahan 3.1 bilion Korea Won (kira-kira RM8.68 juta) sebagai ganti rugi akibat pemberhentian aktiviti dan kegagalan melaksanakan penggambaran iklan yang telah dirancang sebelum ini.

Pada masa yang sama, ADOR turut memfailkan saman ganti rugi berasingan bernilai 10 bilion Korea Won (RM28 juta) terhadap ibu Danielle dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif ADOR, Min Hee-jin, dengan mendakwa kedua-dua individu tersebut bertanggungjawab terhadap pemergian NewJeans daripada agensi serta kelewatan kemunculan semula kumpulan itu, yang mengakibatkan kerugian kepada syarikat.

Difahamkan, jika mengikut terma kontrak eksklusif antara ADOR dan ahli-ahli NewJeans, penalti ditetapkan berdasarkan purata pendapatan bulanan bagi tempoh dua tahun sebelum tarikh penamatan kontrak, didarab dengan jumlah bulan kontrak yang masih berbaki. Kaedah pengiraan ini selaras dengan kontrak eksklusif standard untuk artis budaya popular yang ditetapkan oleh kerajaan Korea Selatan.

Dalam tempoh dua tahun sebelum 29 November 2024, ADOR merekodkan pendapatan sekitar 110.3 bilion Korea Won pada tahun 2023 dan kira-kira 111.2 bilion Korea Won pada tahun 2024, dengan NewJeans sebagai satu-satunya artis di bawah naungan syarikat tersebut. Berdasarkan angka ini, pendapatan tahunan setiap ahli dianggarkan sekitar 22 bilion Korea Won (RM61.6 juta), atau kira-kira 1.8 bilion Korea Won sebulan bagi Danielle.

Dengan mengambil kira baki tempoh kontrak yang masih sekitar 56 bulan, jumlah penalti yang terhasil secara matematik dianggarkan mencecah 100 bilion Korea Won. Namun, ADOR memilih untuk memfailkan tuntutan hanya satu pertiga daripada jumlah tersebut selepas mempertimbangkan potensi pendapatan masa depan Danielle serta kebarangkalian tuntutan itu diterima oleh mahkamah.

Di samping itu, menurut pakar undang-undang, peguam An Seul-a menjelaskan bahawa terdapat kes terdahulu di mana mahkamah tidak menerima klausa penalti sepenuhnya dan mengisytiharkan sebahagiannya sebagai tidak sah selepas menilai pelbagai faktor, termasuk struktur pendapatan sebenar dan tempoh kontrak yang masih berbaki. Oleh itu, tuntutan sekitar 30 bilion Korea Won dilihat sebagai satu jumlah yang lebih munasabah serta realistik dari sudut perundangan.

Sementara itu, sumber industri hiburan turut menyatakan bahawa kebiasaannya pertikaian penalti timbul apabila artis mendakwa penamatan kontrak eksklusif adalah berasas. Namun dalam kes ini, kontrak eksklusif antara ADOR dan Danielle dilihat masih sah, sekaligus menjadikan keupayaan agensi untuk membuktikan jumlah kerugian sebenar sebagai faktor utama dalam perbicaraan yang bakal berlangsung.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE