Berita

Adipati Dolken Hampir Tolak ‘Mojoku Hilang’, Akui Dialek Melayu & Loghat Utara Paling Mencabar

Share

Pelakon popular Indonesia, Adipati Dolken mengakui cabaran menguasai dialek bahasa Melayu dan loghat Utara hampir membuatkan dia berputus asa untuk membintangi filem Mojoku Hilang arahan Min Lim.

Menurut pelakon berusia 35 tahun itu, proses uji bakat bukan sahaja memerlukan lakonan yang mantap, malah dia turut perlu bertutur dalam bahasa Melayu yang disifatkannya sebagai cukup sukar untuk dipelajari.

Tertarik Dengan Skrip, Mahu Keluar Dari Zon Selesa

Adipati berkata, dia terus tertarik untuk menerima tawaran berlakon dalam filem berkenaan sebaik membaca skrip yang disifatkannya sebagai sangat baik, selain melihat peluang itu sebagai pengalaman baharu di luar Indonesia.

“Saya sangat berminat selepas ditawarkan oleh ‘director’, Min Lim untuk membintangi Mojoku Hilang. Ini kerana, skripnya sangat bagus dan pada masa sama saya berpeluang berlakon di luar negara saya, Indonesia.

“Selain itu, dalam skrip juga memerlukan saya mencabar diri berdialek dalam bahasa Melayu dan loghat Utara kerana penggambarannya di Perlis. Jadi, saya teruja kerana belum pernah melakukannya sebelum ini.

“Bagi saya, memang sangat menarik kerana dapat keluar dari zon nyaman (selesa) saya sebagai pelakon kerana sampai bila saya harus bertahan dalam situasi keadaan yang sama dan saya harus belajar.

“Bagaimanapun, ternyata belajar bahasa Melayu itu sulit (sukar) kerana walaupun saya sudah meminta waktu untuk belajar dulu, tetapi sampai tempoh waktunya habis masih juga tidak dapat melakukannya kerana memang sangat sulit,” katanya.

Hantar Hampir 20 Video Uji Bakat Sebelum Pasrah

Sebelum dipilih menjayakan watak utama, Adipati mendedahkan dia perlu melalui sesi uji bakat secara dalam talian dengan merakam hampir 20 video bagi pelbagai babak yang diminta.

Malah, dia mengakui pernah berasa mahu mengalah kerana menyifatkan proses tersebut terlalu mencabar.

“Saya bikin (buat) banyak video kira-kira 20 rakaman yang sampai akhirnya saya menyerah kerana berasa ‘this is to much’. Jadi, saya fikir hanya berikan sahaja video itu kepada pengarah.

“Sama ada saya dapat atau tidak berlakon filem Mojoku Hilang ini, terserah. Saya sudah pasrah, namun ternyata mereka (pihak penerbit) tetap percaya kepada saya boleh melakukannya dan saya dapat ‘job’ itu,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Fath