
Baru-baru ini, empat wakil pelajar Malaysia berjaya mengharumkan nama negara selepas berjaya meraih pingat pada International Olympiad in Informatics (IOI) 2026 di Tashkent, Uzbekistan, sekaligus mencatatkan pencapaian terbaik Malaysia dalam pertandingan berprestij berkenaan.
Lebih membanggakan, kesemua wakil negara berjaya membawa pulang pingat menerusi dua emas dan dua perak, dengan keempat-empatnya berada dalam kelompok 45 terbaik daripada 375 peserta yang mewakili negara-negara seluruh dunia. Keputusan itu turut meletakkan Malaysia antara delegasi berprestasi tinggi pada edisi ke-38 IOI yang berlangsung dari 9 hingga 16 Ogos lalu.
Difahamkan, dua pingat emas negara masing-masing diraih Yuichiro Furuse dan Khor Yan Xun. Yuichiro mencatatkan prestasi tertinggi dalam kalangan wakil Malaysia apabila menduduki tempat kesembilan keseluruhan dengan 425.22 mata, manakala Yan Xun pula berada di tangga ke-19 dengan 380.01 mata.
Sementara itu, Isaac Hew Kai Sheng dan Janson Ho masing-masing menyumbang pingat perak buat Malaysia. Isaac menduduki tempat ke-33 dengan 358.76 mata, manakala Janson melengkapkan saingan di tempat ke-45 dengan 349.22 mata, menjadikan semua wakil negara berada dalam kelompok 12 peratus teratas daripada keseluruhan peserta.
Kejayaan ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding penyertaan Malaysia di IOI 2025 di Sucre, Bolivia apabila negara hanya meraih satu emas dan tiga gangsa. Tahun ini, Malaysia berjaya memperbaiki pencapaian tersebut dengan dua emas dan dua perak sekaligus mencatat rekod terbaik dalam sejarah penyertaan IOI.
Untuk info, IOI merupakan antara pertandingan sains antarabangsa paling berprestij untuk pelajar sekolah menengah di seluruh dunia. Ia sebaris dengan International Mathematical Olympiad, International Physics Olympiad dan International Chemistry Olympiad yang menguji kemahiran penyelesaian masalah, programming dan pemikiran komputasi.
Setiap negara lazimnya menghantar empat pelajar untuk bersaing secara individu dalam pertandingan ini. Dengan ratusan peserta terbaik dari pelbagai negara, pencapaian semua wakil Malaysia yang berada dalam kelompok teratas menjadi sesuatu yang sangat membanggakan.
Pasukan Malaysia ke IOI 2026 dibentuk oleh Malaysian Informatics and Programming Society (MIPS) yang bertanggungjawab mengenal pasti serta melatih pelajar berpotensi. Pemilihan ini dibuat melalui pertandingan seperti Malaysian Computing Olympiad dan Malaysian Computing Challenge sebagai platform pencarian bakat.
Kejayaan empat pelajar ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas programming antarabangsa, malah membuktikan kemampuan generasi muda dalam bidang teknologi. Pencapaian dua emas dan dua perak ini menjadi simbol bahawa bakat tempatan mampu bersaing di peringkat dunia dengan sokongan dan latihan yang tepat. Syabas dan tahniah diucapkan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.