“Sejak kecil sampai sekarang, saya tak pernah malu malah bangga bercerita dengan orang mengenai pekerjaan abah kerana ia kerja yang mulia.”

Itulah luahan penuh rasa bangga daripada Mohamad Zulfithri Mohd Johari, 25, yang memilih untuk berkongsi kisah pengorbanan bapanya membesarkan keluarga sebagai seorang pekerja pembersihan.

Kisah Zulfithri mendapat perhatian selepas dia memuat naik foto bersama ibu, Hasmawati Abdul Hamid, 50, dan bapanya, Mohd Johari Shafie, 51, ketika majlis konvokesyen menerusi TikTok.

Menerusi hantaran sama, Zulfithri turut menitipkan ucapan selamat ulang tahun buat bapanya selain meluahkan rasa bangga menjadi anak kepada seorang pekerja pembersihan.

25 Tahun Setia Mencari Rezeki Di R&R

Bercerita mengenai perkongsian tersebut, Zulfithri yang menetap di Sungai Ramal, berkata hantaran itu dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan bapanya sejak dia kecil sehingga dewasa.

Menurutnya, dia sedar pencapaiannya hari ini tidak mungkin diraih tanpa hasil titik peluh bapanya yang mencari rezeki sebagai kakitangan pembersihan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak.

“Sudah 25 tahun abah bekerja di R&R itu malah dia masih mencari rezeki di situ sehingga kini.

“Abah buat kerja sambilan juga iaitu dengan ambil upah tukar tayar motosikal untuk cari duit lebih.

Ads

“Dulu, abah rajin kumpul tin dan pernah juga minta gaji pendahuluan daripada syarikat untuk menyara kami sekeluarga. Itu antara pengorbanan abah dan kenangan tak dapat dilupakan pula adalah waktu abah bawa pergi ke tempat kerjanya serta melihatnya membersihkan kawasan R&R,” katanya.

Pesanan Abah Jadi Pembakar Semangat

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, bapanya merupakan seorang yang pendiam tetapi tegas dalam mendidik anak-anak.

Nasihat yang diberikan bapanya sejak dahulu juga menjadi antara pendorong utama untuk Zulfithri terus belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Abah pernah pesan, belajar rajin-rajin kerana abah dan emak dulu tak mampu.

“Kata-kata itu yang memberi dorongan buat saya… lagipun, saya anak sulung dan menjadi harapan dalam keluarga.

Ads

“Waktu di sekolah, saya tak dapat banggakan emak dan abah tapi bersyukur kerana terpilih menjadi Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika di kampus hingga berpeluang ke Turkiye juga Korea Selatan.

“Pada hari konvokesyen pada 25 November tahun lalu pula, saya dapat naik ke pentas untuk menerima anugerah kepimpinan jadi gembira kerana buat emak dan abah tersenyum waktu itu,” katanya.

25 Tahun Abah Cari Rezeki Sebagai Pekerja Pembersihan, Kini Anak Mahu Balas Jasa -“Tak Pernah Malu Jadi Anak Abah”
Kini Mahu Balas Pengorbanan Ibu Bapa

Kini bekerja sebagai pegawai eksekutif di sebuah kementerian, Zulfithri menyifatkan dirinya bertuah kerana masih diberi kesempatan merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapanya.

Dalam pada mengejar impian sendiri, dia turut memasang hasrat untuk berkongsi rezeki dan memberikan kehidupan yang lebih selesa buat insan yang banyak berkorban untuknya.

“Sampai sekarang, abah hanya ada motosikal… tapi selepas bekerja, saya dapat beli kereta dan bersyukur kerana boleh membawa emak dan abah berjalan dengan menaiki kenderaan itu.

Ads

“Kalau boleh, saya nak beri keselesaan buat keluarga dan bawa emak dengan abah ke Tanah Suci jika ada rezeki lebih satu hari nanti.

“Sekarang ini, saya bersyukur dengan apa yang ada kerana walaupun bukan hidup mewah tapi rezeki cukup buat kami sekeluarga.

“Buat orang di luar sana, jangan pernah malu dengan pekerjaan ibu dan ayah kerana setiap kerja itu mulia selagi mana ia bermanfaat serta datangnya daripada sumber halal,” katanya.

Bagi Zulfithri, kejayaan yang diraih hari ini bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya turut menjadi simbol kecil buat membalas segala keringat dan pengorbanan ibu bapanya yang tidak pernah putus dalam membesarkannya.

25 Tahun Abah Cari Rezeki Sebagai Pekerja Pembersihan, Kini Anak Mahu Balas Jasa -“Tak Pernah Malu Jadi Anak Abah”

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads