20 Jun Ini, Astro Originals ‘Honey Trap’ Tampilkan Spy Jelita, Lasak & Penuh Rahsia

Share

Astro Originals memperkukuh kedudukannya dalam penerbitan naskhah premium dengan memperkenalkan drama terbaharu berjudul Honey Trap yang merupakan kesinambungan kepada drama hit, Kudeta.

Nina KSC Anggap Honey Trap Beri Cabaran Besar

Bagi pelakon utama drama, Honey Trap iaitu Nina KSC mengakui dia berdepan cabaran besar dalam menjayakan karakter seorang ejen risikan wanita.

“Cabaran terbesar saya adalah untuk bertutur dengan lebih lancar dalam Bahasa Melayu kerana saya sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan di China.

“Oleh itu, saya bersyukur dan ingin memberi penghargaan buat semua kru, produksi dan pengarah drama ini yang sangat membantu saya untuk membawa watak Surya. Kami ada sesi latihan bersama pelakon hebat, Susan Lancaster sebelum masuk ke set sebenar,” katanya.

Sementara itu, pelakon Syarul Ezani pula membawakan watak individu tanpa kerakyatan yang menyertai dunia perisikan selepas melalui pengalaman hidup yang mencabar.

“Watak saya dalam drama Honey Trap ialah seorang individu tanpa kerakyatan yang tinggal di sebuah perkampungan, sama seperti ibunya.

“Namun dalam perjalanan, dia akhirnya menjadi aset kepada sebuah organisasi ejen perisikan dan dari situlah, segalanya menjadi huru-hara dan jauh lebih berbahaya dan sesuatu yang bakal menanti para penonton. Jadi, jangan lupa saksikan Honey Trap,” katanya.

Selain itu, menurut Penerbit Eksekutif Honey Trap merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Honey Trapmembawakan perspektif baharu dalam genre perisikan tempatan yang diterajui oleh wanita.

Honey Trap adalah kesinambungan kepada drama premium Kudeta dan naskhah ini membawa nafas baharu dalam dunia penceritaan perisikan tempatan, lebih-lebih lagi ia mengangkat tema pandangan feminin sebagai nadi utama penceritaan.

“Jika Kudeta memfokuskan kuasa dan politik secara besar-besaran, Honey Trap pula lebih bersifat peribadi dan mendalami sisi psikologi dan isu sosial seperti kesihatan mental di tempat kerja, ketidakseimbangan kuasa dalam organisasi dan manipulasi yang sering tersembunyi di sebalik struktur pihak berkuasa.

“Elemen-elemen ini jarang diketengahkan dalam genre sebegini. Kami percaya, ini akan memberikan pengalaman tontonan yang segar, berani dan relevan – bukan sahaja kepada peminat drama thriller tetapi juga untuk penonton yang mahukan cerita yang menyentuh jiwa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penjenamaan dan Pengedaran Filem Astro Shaw, Norsalvina Alwee turut berkongsi bahawa Honey Trap memperkenalkan elemen perisikan yang lebih kompleks dan penuh konspirasi berbanding drama terdahulu.

“Drama ini berkisarkan spy wanita dalam dunia politik yang dipenuhi elemen permainan dan perebutan kuasa politik.

Honey Trap juga lanjutan daripada drama Kudeta, jadi kita suntikkan elemen perisikan yang lebih kompleks penuh konspirasi seperti yang ditunjukkan menerusi iklan acah,” jelasnya.

Penulis skrip Honey Trap, Imran Sheik pula berkata, pendekatan unik diambil dalam membina karakter utama drama ini, Surya Gabriel lakonan Nina KSC.

“Surya Gabriel sebagai seorang spy akan cuba mencari apa yang disukai oleh subjek sasarannya. Seperti kita dapat lihat dia mengenakan set kebaya kerana lelaki itu suka melihat wanita berkebaya.

“Kalau subjek lain suka wanita memakai jaket kulit, dia akan pakai itu pula. Untuk menampilkan jalan cerita yang lebih fresh, kita menonjolkan Surya ini berkebaya ketika pergi ke Jazz Club. Jadi watak Surya ini akan adapt dengan subjek yang dirisiknya,” katanya.

Honey Trap dijangka menjadi antara drama yang membuka dimensi baharu dalam penceritaan perisikan tempatan dengan menampilkan kombinasi psikologi dan kuasa dalam suasana penuh teka-teki serta emosi.

Selain Nina KSC dan Syarul Ezani, ia juga dibintangi oleh Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Chazzy Nash, Amyza Aznan, Eugene Ong, May June, Dai Fuad, Sefik Khair serta penampilan daripada watak-watak daripada  siri

Kudeta.

Drama terbitan Astro Shaw ini bakal menemui penonton bermula 20 Jun 2025 di platform On Demand dan sooka bermula 12 tengah malam setiap Jumaat, serta Astro CITRA (saluran 108) pada hari yang sama, Jumaat jam 9.00 malam dan Astro RIA (saluran 104) setiap Isnin jam 9.00 malam.

Istimewanya, penonton turut dapat strim dua episod pertama di platform On Demand pada 20 Jun nanti.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath