
Penyanyi versatil, Aisha Retno sekali lagi menjadi perhatian selepas menjawab teguran seorang netizen yang mempersoalkan personalitinya ketika berada di khalayak umum.
Menerusi komen tersebut, individu berkenaan berpendapat sikap Aisha yang gemar berseloroh serta membuat ekspresi wajah lucu boleh menyebabkan dirinya dilihat kurang profesional sebagai seorang artis.
“Aisha memang penyanyi yang sangat bagus”
Dalam tegurannya, netizen tersebut terlebih dahulu memuji bakat Aisha sebagai seorang penyanyi sebelum menyuarakan pandangan mengenai personaliti yang ditampilkan oleh pelantun berkenaan.
“Sekadar pandangan saya, Aisha sememangnya seorang penyanyi yang sangat bagus, tetapi cara dia yang sering membiarkan fikiran spontan menguasai dirinya pada setiap kesempatan (seperti meniru wajah atau gaya ‘Kacips’) membuatkan dia kelihatan tidak profesional.
“Latar belakang atau keturunan anda boleh jadi apa sahaja, tetapi cara anda membawa personaliti diri itu penting kerana anda membawa imej sebagai seorang artis dan turut mempengaruhi orang lain,” tegurnya.
Berbeza dengan sesetengah selebriti yang mungkin memilih untuk tidak melayan teguran sebegitu, Aisha dilihat mengambil pendekatan tenang dengan membalas komen tersebut secara baik.
Menurut Aisha, dia tidak melihat perbuatan berseronok atau menunjukkan sisi spontan dirinya sebagai sesuatu yang salah, selagi dia tahu keadaan yang memerlukan dirinya untuk bersikap serius.
“Bismillah, tiada salahnya untuk berseronok sedikit, seperti kata orang, YOLO. Jadi, jangan risau okay!
“Setakat ini, dengan didikan ibu bapa Aisha, saya tahu bila masa yang sesuai untuk menjadi ‘kacip’ dan bila masa untuk berbincang secara serius seperti yang anda lihat dalam temu bual ini.
“Saya tidak akan mengecewakan ibu bapa saya dengan pendidikan yang telah mereka berikan! Terima kasih juga kepada Universiti Malaya atas ilmu perhubungan awam (PR) yang banyak membantu saya setakat ini!
“Mungkin masih ada beberapa kesilapan di sana sini, tetapi pengalaman sedang membentuk kesedaran diri saya. Insya-Allah, ketahuilah pucuk pangkal dulu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Aisha turut mengakui dirinya masih dalam proses belajar dan membentuk kesedaran diri menerusi pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni.
Jawapan tersebut secara tidak langsung menunjukkan Aisha memahami tanggungjawabnya sebagai seorang figura awam, namun pada masa sama tidak mahu terlalu mengawal sisi dirinya yang spontan dan suka bergurau.
Untuk info, posting teguran tersebut kemudiannya telah dipadamkan oleh individu berkenaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.