
Bagi sesetengah orang, pekerjaan sebagai pengutip sampah mungkin dipandang rendah. Namun bagi seorang pemuda berusia 23 tahun ini, kerjaya tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dimalukan.
Sebaliknya, Wan Othman Mohd Nur Hasyim memilih jalan itu dengan penuh rasa tanggungjawab demi membantu keluarganya.
Wan Othman yang sudah lebih empat tahun bekerja sebagai pengutip sampah mengakui langsung tidak berasa malu dengan kerjaya yang diceburinya sejak berusia 18 tahun.
Menurutnya, apa yang paling penting adalah usaha mencari rezeki halal untuk membantu keluarga.
“Sejujurnya saya tidak berasa malu kerana saya nekad bekerja dan mencari duit untuk membantu keluarga.
“Bagi mereka yang memandang hina pekerjaan ini (pengutip sampah), saya anggap mereka lagi hina apabila tidak pandai untuk membuang sampah di tempat yang disediakan.
“Sebenarnya, berkat daripada kerja ini saya dapat membantu ayah, ibu dan adik beradik. Segalanya demi keluarga kerana ayah hanya bekerja sebagai pemotong rumput dan mencuci longkang manakala ibu pula tidak bekerja.
“Saya mula bekerja sebagai pengutip sampah ini ketika berusia 18 tahun dan menganggap kerjaya ini daripada sudut positif,” katanya.
Wan Othman bekerja pada waktu malam, bermula jam 9.30 malam sehingga 6 pagi.
Walaupun sudah biasa dengan tugas tersebut, dia mengakui pekerjaan itu bukanlah mudah dan mempunyai pelbagai cabaran.
Antara perkara yang sering dihadapi adalah sikap segelintir masyarakat yang tidak menjaga kebersihan dengan baik.
Ditanya cabaran yang dihadapi sebagai pekerja pembersihan, dia mengakui ada segelintir masyarakat yang tidak menjaga kebersihan terutama tidak mengikat plastik sampah dan membuangnya ke dalam tong sampah.
Katanya, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab itu sisa sampah bertaburan dan melambatkan kerja-kerja mengangkut sampah.
“Masalah kenderaan yang dipakir di kawasan tong sampah terutama di belakang kedai menyukarkan kutipan sampah dilakukan,” katanya.
Selain bekerja sebagai pengutip sampah pada waktu malam, Wan Othman juga melakukan kerja sambilan di kedai makan pada waktu siang.
Usaha itu dilakukan bagi menampung kehidupan keluarganya, lebih-lebih lagi apabila tiga adiknya masih bersekolah.
Walaupun sibuk bekerja, Wan Othman tidak pernah berhenti merancang masa depan yang lebih baik.
Mengulas perancangan kerjaya pada masa depan, dia sedang mengambil lesen lori iaitu impian bekerja sebagai pemandu kenderaan berat itu untuk lebih ke hadapan dalam kerjayanya.
Katanya, segalanya dilakukan untuk menambah pendapatan dan membantu keluarga kerana tiga adiknya masih bersekolah.
Sementara itu, Eksekutif Operasi Alam Flora Sdn Bhd Kuantan, Khairul Hajrin Khairuddin berkata, pihaknya berbangga dengan prestasi kerja Wan Othman yang bersikap bertanggungjawab dan amanah.
“Rata-rata pekerja am Alam Flora yang bekerja mengutip sampah ini berusia antara 18 dan 23 tahun. Kerja kutipan sampah ini memerlukan tenaga terutama berdepan dengan keadaan cuaca panas dan hujan,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama & Metro