
Dalam dunia yang semakin sarat dengan suara di media sosial, pelakon popular Aeril Zafrel memilih pendekatan yang lebih dekat dengan jiwanya menyumbang melalui seni dan penceritaan di layar.
Bermula 19 Februari 2026 (1 Ramadan 1447H), mini filem aksi-drama Taufan Al-Aqsa akan ditayangkan secara eksklusif di platform White Stream, menampilkan Aeril sebagai watak utama, Ahmad, seorang ejen Al-Qassam yang berjuang mempertahankan tanah air, maruah bangsa dan agama.
Seni sebagai medium perjuangan

Bagi Aeril, filem ini bukan sekadar projek lakonan, tetapi satu tanggungjawab moral dan spiritual.
Menyedari keterbatasannya dalam berbicara mengenai isu Palestin di media sosial, beliau menjadikan karya sebagai medium utama untuk menyampaikan mesej kemanusiaan dan solidariti.
Luahan itu mencerminkan keikhlasan seorang seniman yang ingin berbakti mengikut keupayaan dirinya.
Bagi Aeril, setiap babak yang dilakonkan membawa makna lebih besar tentang pengorbanan, ketabahan dan keimanan rakyat Palestin yang terus berjuang menuntut keadilan.


Dalam nada yang lebih peribadi, beliau turut berkongsi rasa hormat terhadap pejuang Palestin.
“Saya dapat rasakan mereka semua berjuang lillahi ta’ala mempertahankan Islam, tanah air dan bangsa mereka daripada penindasan Israel. Saya sendiri tak pandai sangat untuk bercakap panjang di media sosial, takut tersalah kata. Jadi saya hanya berani untuk berkongsi dan menyokong setakat yang mampu. Walaupun saya cuma berlakon sebagai Ahmad, saya anggap ini salah satu sumbangan kecil saya sebagai amal jariah”, katanya.
Tontonan yang turut menyumbang
Taufan Al-Aqsa diterbitkan oleh Bumi Mikraj, Komuniti Dakwah Tarbiah dengan kerjasama MTAS Production, diarahkan oleh Azfar Hamdii, serta menampilkan barisan pelakon termasuk Wawa Zainal, Ungku Hariz dan Zaim Shaari.
Menariknya, langganan White Stream hanya RM10 sebulan, dan sebahagian daripada hasil langganan akan disalurkan kepada Tabung Palestin Bumi Mikraj menjadikan tontonan filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sumbangan bermakna kepada mereka yang memerlukan.
Dengan gabungan aksi mendebarkan, emosi yang menyentuh hati dan mesej kemanusiaan yang kuat, Taufan Al-Aqsa hadir sebagai bukti bahawa perjuangan boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk termasuk melalui seni lakonan.
Sumber : Gempak
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










