15 Tahun Tanpa Achik Spin, Anak Gadis Kian Membesar. Cantik & Bijak!

Share

Sudah 15 tahun berlalu sejak pemergian tragis penyanyi terkenal era 2000-an, Allahyarham Achik Spin, namun kenangan terhadapnya masih kekal dalam ingatan rakyat Malaysia. Kemalangan jalan raya yang meragut nyawanya pada tahun 2010 bukan sahaja meninggalkan ruang kosong dalam industri seni tanah air, tetapi juga dalam kehidupan keluarganya.

Hari ini, anak-anak arwah bukan lagi si kecil yang diriba. Mereka kini membesar sebagai remaja yang cantik, bijak dan berhemah, hasil didikan seorang ibu tunggal yang tabah, H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, atau lebih mesra disapa Tasha.

Membesar Tanpa Ayah, Tapi Penuh Kasih Sayang

Melalui perkongsian Tasha di laman Instagram, ramai tersentuh melihat keakraban beliau dengan anak-anak. Walaupun kehilangan sosok bapa pada usia yang sangat muda, kedua-dua puterinya, Safiyya (17 tahun) dan Putri Nursumayya (15 tahun), membesar dalam suasana penuh kasih sayang dan bimbingan.

 

“Anak-anak pun dah boleh biasakan diri hidup tanpa ayah di sisi. Kalau rindu, saya akan bawa mereka ziarah pusara arwah bapa mereka,” kongsi Tasha dalam satu temubual.

Putri Nursumayya kini menuntut di Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani (SGSTAR) di Seremban — pencapaian membanggakan yang membuktikan bahawa ketiadaan bapa tidak pernah menjadi penghalang kepada kecemerlangan.

Kekuatan Seorang Ibu Tunggal

Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal bukanlah satu perjalanan yang mudah. Bagi Tasha, 15 tahun membesarkan anak sendirian menjadikan dirinya seorang wanita yang lebih kuat dan berdikari. Kini bekerja sebagai pegawai kewangan di sebuah hospital swasta di Seremban, Tasha menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sepenuh masa.

“Terlalu penat kerana semuanya saya kena buat sendiri. Sayalah ibu, sayalah ayah,” luahnya jujur.

Namun, penat itu terbayar apabila melihat anak-anak membesar dengan sihat, matang dan berdikari.

Masih Setia Pada Cinta Lama

Sejak pemergian arwah suami, Tasha memilih untuk tidak mencari pengganti, bukan kerana menutup hati, tetapi kerana cinta sejati yang pernah hadir terlalu sukar untuk dilupakan.

“Saya tak rasa ada orang yang boleh sayang saya seperti mana arwah suami. Mungkin sebab itulah saya masih belum ada pengganti,” katanya.

Dalam dunia yang semakin moden dan terbuka, kesetiaan seperti ini menjadi sesuatu yang amat dihargai. Cinta yang tidak berganti bukan bererti terperangkap dalam kenangan, tetapi menghormati kisah indah yang pernah mewarnai kehidupan.

Moga Safiyya serta Sumayya terus berjaya dan cemerlang. Al-Fatihah buat arwah Acik Spin!

SUMBER : Nona

Published by
Nana