Sudah lama rasanya pawagam tidak menayangkan filem-filem terbaru kerana situasi pandemik COVID-19. Banyak juga filem yang telah pun menangguhkan tayangan kerana tidak mahu menanggung kerugian akibat tiada orang menonton di pawagam.

Namun, sedikit demi sedikit penerbit filem antarabangsa dan tempatan telah pun membenarkan filem mereka ditayangkan di panggung wayang. September ini ada beberapa filem baru yang boleh korang tonton.

Let’s check this out!

1. The Eight Hundred

Tarikh tayangan: 3 September 2020

Pelakon: Jiang Wu, Li Chen, Zhang Yi

Semasa perang di Shanghai pada tahun 1937, 800 orang tentera Cina perlu melindungi Gudang Sihang daripada tentera Jepun.

2. Mulan

Tarikh tayangan: 4 September 2020

Pelakon: Crystal Liu Yifei, Donnie Yen, Jason Scott Lee, Yoson An, Gong Li, Jet Li

Filem ‘live action’ ini adalah adapatasi dari cerita lagenda mengenai pahlawan wanita Hua Mulan. Dia telah menyamar sebagai lelaki supaya dia dapat mengambil alih tempat bapanya dalam tentera.

3. Antebellum

Tarikh tayangan: 10 September 2020

Pelakon: Janelle Monáe, Marque Richardson, Eric Lange, Jack Huston, Kiersey Clemons, Tongayi Chirisa, Gabourey Sidibe, Robert Aramayo, Lily Cowles, Jena Malone

Menyedari dirinya terperangkap dalam realiti yang mengerikan, kini penulis terkenal Veronica Henley perlu mencari jalan keluar dan menyelesaikan misteri mimpi ngeri itu sebelum terlambat.

4. Break The Silence: The Movie

Tarikh tayangan: 10 September 2020

Pelakon: RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V, Jungkook

Sebuah dokumentari yang memaparkan rakaman konsert jelajah kumpulan muzik lelaki Korea Selatan, BTS, “Love Yourself: Speak Yourself” yang berlangsung di Los Angeles, Chicago, New York, São Paulo, London, Paris, Osaka, Shizuoka, Riyadh, dan Seoul pada 2019.

Mereka juga merupakan kumpulan muzik Korea pertama yang membuat persembahan di Stadium Wembley, London. Selain itu, ia turut menampilkan klip dan rakaman di sebalik tabir konsert, serta kisah-kisah peribadi yang diceritakan sendiri oleh tujuh ahli kumpulan itu.

5. Sebelum Iblis Menjemput Ayat 2

Tarikh tayangan: 10 September 2020

IKLAN

Pelakon: Chelsea Islan, Baskara Mahendra, Hadijah Shahab, Widika Sidmore, Karina Salim, Arya Vasco

Dua tahun selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya, Alfie dan adiknya Nara cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarpun cuba melupakan masa lampaunya, namun dia masih dihantui gambaran-gambaran menakutkan. Alfie menyedari akan bahaya yang bakal dihadapi bersama rakan-rakannya apabila muncul satu entiti jahat yang ingin membunuh mereka.

6. A. I. Amok

Tarikh tayangan: 10 September 2020

Pelakon: Takao Osawa, Kento Kaku, Alice Hirose, Takanori Iwata, Masahiro Takashima

Berlatarbelakangkan tahun 2030 di Jepun, di mana kepintaran buatan (AI) digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk bidang perubatan, kewangan dan keselamatan. Saintis pintar Kosuke Kiryu telah mencipta sebuah sistem AI untuk digunakan bagi tujuan perubatan. Namun ciptaannya tidak diterima pihak kerajaan memandangkan tiada bidang kuasa yang berkaitan, menyebabkan dia gagal menyelamatkan isterinya yang sakit tenat. Dia membuat keputusan untuk bersara dan meninggalkan Jepun selepas kematian isterinya.

Beberapa tahun berlalu dan ciptaannya akhirnya diiktiraf dan digelar NOZOMI, yang mana ia berjaya menyelamatkan orang ramai. Bagaimanapun, apabila dia bersedia untuk pulang ke Jepun, selepas dihubungi abang iparnya, yang juga rakan penyelidikannya, ciptaan Kosuke mula hilang kawalan dan memilih orang untuk dibunuh. Dituduh sebagai pengganas, kini Kosuke perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan ciptaanya sebelum ia mula membunuh.

7. Ada Apa Dengan Dosa

Tarikh: 10 September 2020

Pelakon: Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Haris Ismail, Adam Corrie, Fauziah Nawi

Aurora merupakan remaja berusia 19 tahun yang dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam. Namun, setelah mendapat tahu bahawa dia sebenarnya adalah anak luar nikah, Aurora hampir bunuh diri akibat tertekan.

Dia kemudiannya dibantu oleh Khaliq dan pulang ke Malaysia untuk mencari ibu dan bapa kandungnya. Sementara itu, ibu kandungnya, Siti Zahrah, masih dihantui dengan dosa silam, manakala ayah kandungnya pula, Ustaz Aariz, seorang ustaz terkenal, cuba lari dari dosa silam dan tidak mengaku Aurora adalah anak kandungnya demi menjaga reputasinya.

IKLAN

8. The Widow

Tarikh tayangan: 17 September 2020

Pelakon: Viktoria Potemina, Anastasiia Gribova, Margarita Bychkova

Selama 30 tahun, ramai orang didapati hilang di dalam kawasan hutan di utara St. Petersburg, Rusia. Hanya beberapa mayat sahaja yang ditemui, dan selebihnya hilang begitu saja. Penduduk tempatan percaya ia adalah angkara satu roh jahat yang tinggal di sana. Sekumpulan sukarelawan mengembara ke hutan itu pada 14 Oktober 2017 untuk mencari seorang remaja yang hilang tetapi sejak hari itu tiada lagi khabar berita mengenai mereka. Mereka dipercayai telah diculik oleh roh jahat yang sama, dikenali sebagai The Widow.

9. Deliver Us From Evil

Tarikh tayangan: 17 September 2020

Pelakon: Hwang Jung-Min, Lee Jung-Jae, Park Jung-Min, Choi Hee-Seo

Setelah menyelesaikan kontrak terakhirnya, pembunuh upahan In-nam bergegas ke Thailand apabila mendapat tahu bahawa kemungkinan salah seorang ahli keluarganya telah menjadi mangsa kes penculikan yang berlaku di sana. Dia disertai oleh Yui, yang bekerjasama untuk menyiasat dan mencari mangsa penculikan tersebut. Pada masa yang sama, In-nam turut berada dalam buruan Ray, selepas mendapati adiknya telah dibunuh oleh In-nam.

10. Kutuk

Tarikh tayangan: 17 September 2020

Pelakon: Shandy Aulia, Alice Norin, Stuart Collin, Vitta Mariana

Maya kerap terhidu bau busuk di biliknya dan mendengar suara-suara aneh setiap malam di rumah jagaan warga emas tempatnya baru mula bekerja. Dia turut diganggu satu kelibat wanita yang berpakaian jururawat sama sepertinya. Pemilik rumah itu, Elena, cuba membantunya, namun kehadirannya tidak disenangi oleh Gendis.

Pada masa yang sama, dia turut mengenali seorang pekerja rumah jagaan warga emas bernama Reno, yang memberi amaran kepadanya supaya segera meninggalkan rumah itu. Apabila seorang demi seorang orang di sekelilingnya mati, Maya cuba mencari jalan untuk menamatkan gangguan-gangguan aneh yang menghantui rumah itu, tanpa menyedari bahaya yang menantinya.

IKLAN

11. Miimaland

Tarikh tayangan: 24 September 2020

Pelakon: Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Camelia Natasya kmn, Hazzy Alzeeq, Zalif Sidek

Sebuah filem seram arahan Nevin Hiong. Ia dibintangi oleh Fattah Amin sebagai Ariel, yang ingin menyiasat misteri taman tema terkenal pada tahun 1990-an, Mimaland. Taman tema yang dibuka sejak 1971 itu dibiarkan terbengkalai selepas berlakunya tanah runtuh pada tahun 1994.

12. The Specials

Tarikh tayangan: 24 September 2020

Pelakon: Vincent Cassel, Reda Kateb, Hélène Vincent, Bryan Mialoundama

Bruno dan Malik melakukan kerja-kerja sosial selama 20 tahun di bawah dua buah syarikat organisasi tidak berasaskan keuntungan, The Hatch dan The Shelter. Mereka mengambil kanak-kanak, remaja autism serta golongan tidak berkemampuan untuk dijaga. Mereka tidak bimbang dengan kekurangan yang ada pada golongan ini, sebaliknya melihat ia sebagai peluang untuk meneroka potensi yang ada pada setiap insan istimewa ini.

13. Unhinged

Tarikh tayangan: 24 September 2020

Pelakon: Russell Crowe, Gabriel Bateman, Caren Pistorius

Perbuatannya membunyikan hon kereta kepada seorang lelaki tidak dikenali ketika bergegas ke tempat bekerja menyebabkan Rachel, seorang ibu tunggal, kini berdepan bahaya. Sejak itu, Rachel mendapati lelaki misteri itu sering mengekorinya dan orang-orang yang rapat dengannya menjadi mangsa serangan lelaki itu.

14. Let It Snow

Tarikh tayangan: 24 September 2020

Pelakon: Ivanna Sakhno, Alex Hafner, Tinatin Dalakishvili

Ketika menyelinap masuk ke sebuah kawasan larangan untuk meluncur salji, Mia terpisah dengan tunangnya. Kini dia bukan sahaja perlu meneruskan hidup di dunia luar, tetapi juga menyelamatkan diri daripada seorang lelaki misteri bertopeng dan berpakaian hitam yang sedang memburunya.

15. Re: Zero- Starting Life In Another World

Tarikh tayangan: 24 September 2020

Setelah memasuki sebuah dunia lain ketika pulang ke rumah dari kedai serbaneka, pelajar sekolah tinggi Natsuki Subaru mendapati dirinya keliru dan sesat di dalam dunia tersebut. Dia kemudiannya bertemu seorang gadis jelita berambut perak, satu-satunya orang yang ingin berkawan dengannya. Sebagai tanda terima kasih atas kebaikannya, Natsuki membuat keputusan untuk membantu gadis itu mencari barang kepunyaannya yang hilang.

Selamat menonton!

Sumber: cinema.com.my

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI