Berita

Zohran Mamdani Jadi Datuk Bandar Muslim Pertama New York City: Sejarah Baharu Dunia Politik AS

Share

New York City melakar sejarah baharu! Ahli politik muda progresif, Zohran Mamdani, kini menjadi tumpuan dunia selepas dipilih sebagai Datuk Bandar New York City yang ke-111, sekaligus menjadi Muslim pertama yang menerajui kota terbesar Amerika Syarikat (AS).

Dari Calon Kecil Jadi Pemimpin Kota Terbesar Dunia

Calon Demokrat berusia 34 tahun itu mengejutkan ramai apabila menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo, dan calon Republikan, Curtis Sliwa, dalam pilihan raya penuh dramatik yang turut dilihat sebagai referendum terhadap hala tuju politik AS di bawah Donald Trump.

Dalam pilihan raya yang mencatatkan jumlah pengundi tertinggi sejak tahun 1969, Mamdani menewaskan bekas Gabenor New York Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa dengan kemenangan yang mengejutkan ramai pihak. -Agensi

Sebelum ini, Datuk Bandar sedia ada Eric Adams menarik diri daripada pertandingan pada September selepas kempen pemilihannya tergugat oleh pelbagai skandal dan dakwaan rasuah dan membuka laluan kepada kebangkitan Zohran Mamdani.

Mesej Untuk Rakyat Biasa

Zohran Mamdani yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri New York, muncul sebagai suara rakyat dengan kempen yang menekankan isu kemampuan hidup dan keadilan sosial.

Antara fokus utamanya ialah:

  • Membekukan kadar sewa unit terkawal 🏘️
  • Membina lebih banyak perumahan mampu milik
  • Menaikkan gaji minimum kepada USD30 sejam
  • Menjadikan pengangkutan awam percuma 🚇
  • Menaikkan cukai golongan kaya untuk menampung keperluan rakyat

Kempen beliau dibiayai terutamanya melalui derma kecil dan tenaga sukarelawan, menjadikan gerakannya simbol kepada politik rakyat sebenar, bukan sekadar elit.

Kuasa Media Sosial & Gerakan Anak Muda

Zohran Mamdani menggunakan media sosial secara kreatif untuk berhubung dengan pengundi muda dari video santai di jalanan hingga sesi “town hall” digital.

Gayanya yang bersahaja, berjalan kaki menemui penduduk dan bersembang dengan komuniti setempat menjadikan beliau ikon politik generasi baharu yang dekat dengan rakyat.

Kemenangan awal dalam pemilihan Demokrat pada Jun dengan kelebihan hampir 13 mata ke atas Cuomo benar-benar mengubah landskap politik New York.

Sokongan Tokoh Progresif

Antara penyokong kuat beliau ialah Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez (AOC), dua figura popular dalam gerakan politik progresif Amerika.

Turut menyatakan sokongan ialah Peguam Negara Letitia James, Gabenor Kathy Hochul, dan Ketua Minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries.

Namun, tidak semua gembira dengan dua Senator utama New York, Chuck Schumer dan Kirsten Gillibrand, memilih untuk tidak membuat sebarang pengesahan rasmi, mencerminkan perpecahan ideologi dalam Parti Demokrat.

Cabaran & Serangan Islamofobia

Sepanjang kempen, Zohran Mamdani berdepan serangan politik dan Islamofobia, termasuk tuduhan tidak berasas daripada sekutu Donald Trump, Elise Stefanik, yang menuduhnya sebagai “calon jihad”.

Beliau juga dikritik hebat kerana pendiriannya terhadap krisis Gaza, namun Zohran Mamdani tegas mempertahankan prinsip kemanusiaan dan hak bersuara.

Dalam debat terakhir Oktober, beliau menegaskan:

“Saya mahu mengembalikan semangat rakyat biasa ke dewan kuasa — ini tentang mereka, bukan tentang saya.”

Simbol Harapan & Perubahan

Kemenangan Zohran Mamdani bukan sekadar sejarah politik — ia adalah manifestasi transformasi identiti Amerika moden.

Ia menandakan kebangkitan generasi muda, minoriti, dan komuniti berbilang latar belakang untuk membentuk masa depan yang lebih adil dan inklusif.

Dengan jumlah pengundi tertinggi sejak 1969, kemenangan beliau jelas menunjukkan gelombang perubahan besar yang digerakkan oleh suara anak muda.

Inspirasi Untuk Remaja Malaysia

Kisah Zohran Mamdani membuktikan bahawa usia muda bukan halangan untuk memimpin perubahan. Dalam dunia yang semakin kompleks, keberanian, integriti dan visi yang jelas masih menjadi kunci untuk membawa perubahan sebenar.

💡 Kalau Zohran Mamdani boleh lakukannya di New York City, apa pula perubahan yang awak boleh mulakan di sini, hari ini?

Sumber : Sinar Harian

Published by
Nana