Berita

Multitasking Level Yana Samsudin, Pelakon, Usahawan, Ibu & Kini Berjaya Genggam Master Eksekutif UMPSA! Tahniah!

Share

Pelakon dan usahawan, Yana Samsudin sekali lagi membuktikan bahawa seorang wanita boleh memiliki segalanya iaitu keluarga, kerjaya, dan kejayaan akademik apabila tetap bersemangat menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-20, meskipun baru 30 hari berpantang selepas melahirkan anak ketiga.

Detik Manis Seorang Ibu & Pelajar

Bagi Yana, naik ke pentas menerima Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Korporat bukan sekadar simbol kejayaan akademik, tetapi juga bukti kekuatan dan semangat seorang ibu yang tidak pernah menyerah.

Yana hadir ditemani suami tercinta, Fadhil Zahari, serta ibunya, yang menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan pengajiannya.

Beliau menerima ijazah daripada Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, pada sesi kelima majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA.

“Saya berharap kehadiran ini akan menjadi kenangan manis bukan saja buat diri saya tetapi juga anak dan suami suatu hari nanti.

“Sepatutnya tarikh hari ini merupakan tarikh bersalin namun, disebabkan ditakdirkan bersalin awal memberikan saya peluang naik ke pentas konvokesyen dengan memakai jubah,” ujarnya.

Antara Penggambaran, Perniagaan & Tanggungjawab Ibu

Dalam kesibukan dunia seni dan perniagaan, Yana mengakui bukan mudah untuk membahagikan masa antara

penggambaran, urusan perniagaan dan anak-anak kecil. Namun, setiap kepenatan itu berbaloi apabila melihat hasilnya kini.

“Terima kasih buat suami yang banyak membantu dan keluarga yang sentiasa menyokong,” tambahnya dengan penuh rasa syukur.

Beliau juga berkongsi bahawa keadaan fizikal yang masih belum pulih sepenuhnya bukan penghalang untuk meraikan momen istimewa itu. Bagi Yana, setiap langkah ke pentas konvokesyen adalah simbol kekuatan, kasih dan pengorbanan seorang wanita.

Pesan Buat Wanita & Pelajar Lain

Yana turut menitipkan pesan buat wanita serta pelajar lain agar tidak mudah berputus asa dalam menuntut ilmu, walau berdepan cabaran kehidupan.

“Kuatkan semangat dan terus berjuang untuk kepuasan diri serta peningkatan kerjaya dalam era teknologi yang mencabar ini,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa syukur atas kesihatan yang baik yang mengizinkannya hadir meraikan kejayaan ini bersama insan tersayang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: UMPSA News

Published by
Fath