
Baru-baru ini, pasukan Malaysia berjaya mengharumkan nama negara selepas membawa pulang lima pingat menerusi penyertaan di World Robot Challenge ke-23 yang berlangsung di Beijing pada 8 dan 9 Ogos lalu.
Difahamkan, pencapaian itu melibatkan dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa, sekaligus menyaksikan peningkatan berbanding kejohanan tahun lalu yang menyaksikan pasukan negara meraih dua pingat.
Menurut Pengarah projek World of Robotics Sdn Bhd (World of Robotics), Michelle Choo berkata seramai 92 peserta Malaysia berusia antara sembilan hingga 18 tahun menyertai kejohanan antarabangsa berkenaan yang menghimpunkan lebih 5,000 peserta serta peminat robotik dari lebih 40 negara.
Katanya, peserta terlebih dahulu melalui pertandingan World of Robotics Championship sebelum menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi cabaran di Beijing.
“Sebelum ini, pelajar-pelajar ini menyertai pertandingan World of Robotics Championship. Selepas pertandingan tersebut, kami sediakan latihan intensif sebagai persediaan, dan saya rasa mereka sememangnya bersedia untuk menghadapi cabaran di Beijing,” katanya.
Kejayaan itu jelasnya bukan sekadar membuktikan kemampuan pelajar tempatan bersaing di pentas antarabangsa, malah menunjukkan usaha berterusan dalam membangunkan bakat muda dalam bidang robotik mampu menghasilkan pencapaian yang membanggakan negara.
Dalam masa sama, penyertaan di peringkat global turut memberi ruang kepada peserta untuk menimba pengalaman baharu serta menguji kemahiran mereka dalam suasana pertandingan yang lebih kompetitif.
Untuk info, lima pingat tersebut diraih menerusi empat kategori, dengan pingat emas Puck Collector Junior dimenangi Che Raeesa Che Rostami, Anaqi Azizi Asnur dan Wan Umar Wan Azlan, manakala Cheong Zhen Hao, Lee Jian Kai dan Yap Yu Min membawa pulang emas dalam kategori Robobowling Senior. Pingat perak Puck Collector Senior pula diraih Elijah Shreyash Nair dan Muhammad Irfan Rizqi Roseaidy.
Bagi kategori Puck Collector Junior, Cheah Cheng You, Keith Chan dan S. Avighna Sivam berjaya memperoleh pingat gangsa, manakala M. Nethish Sharmaa dan Muhammad Raffan Aqhyaar Mohd Nafis turut menyumbang pingat gangsa menerusi kategori Freestyle Junior. Kesemua pencapaian itu menjadi antara detik bermakna buat kontinjen Malaysia yang terdiri daripada peserta muda daripada pelbagai latar belakang.
Sementara itu, menurut peserta, kejohanan berkenaan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, khususnya bagi mereka yang pertama kali beraksi di luar negara. M. Nethish Sharmaa (11) menyifatkan penyertaan itu sebagai pengalaman baharu yang amat bermakna dan berazam untuk kembali dengan sasaran memenangi pingat emas pada masa akan datang, selain menghargai kerjasama pasangannya, Muhammad Raffan Aqhyaar. Che Raeesa (12), pula mengakui pertandingan tersebut mengajarnya kepentingan kerja berpasukan, bertolak ansur dan bekerjasama ketika menyelesaikan tugasan dalam kumpulan.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.