
Terbaru, penyanyi K-Pop terkenal, Winter daripada kumpulan Aespa meraih perhatian apabila tampil dengan inisiatif kebajikan yang cukup menyentuh hati peminat di seluruh dunia. Tindakan penyanyi ini sekali lagi membuktikan bahawa pengaruh seorang selebriti bukan sekadar di atas pentas, tetapi juga mampu memberi impak besar kepada masyarakat.
Difahamkan, Winter atau nama sebenarnya Kim Min-jeong (25) telah menyumbangkan sejumlah 200 juta Korea Won, bersamaan kira-kira RM525,000, kepada dua organisasi berbeza iaitu UNICEF Korea dan Samsung Medical Center. Sumbangan tersebut diagihkan sama rata, masing-masing 100 juta Korea Won bagi menyokong golongan yang memerlukan.
Dana yang disalurkan kepada UNICEF Korea akan digunakan bagi membantu kanak-kanak yang terkesan akibat konflik dan bencana di seluruh dunia. Dalam masa sama, sumbangan kepada Samsung Medical Center pula disalurkan menerusi dana khas yang memberi bantuan rawatan kepada pesakit daripada keluarga kurang berkemampuan.
Menurut Winter, sumbangan tersebut dilakukan dengan harapan dapat mengembalikan semula kehidupan normal kepada mereka yang terjejas. Selain itu, keputusan untuk menderma juga lahir daripada rasa penghargaan terhadap peminat.
“Saya berharap mereka yang kehilangan kehidupan harian akibat pelbagai sebab di seluruh dunia dapat kembali kepada rutin yang aman secepat mungkin,” katanya.
“Saya membuat keputusan untuk menderma bagi berkongsi kasih sayang yang saya terima daripada peminat dengan cara yang lebih bermakna. Saya benar-benar berharap para pesakit dapat kembali menjalani kehidupan sihat seperti biasa,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Winter terlibat dalam aktiviti kebajikan. Sebelum ini, beliau pernah menyumbang 100 juta Korea Won bagi membantu mangsa kebakaran hutan di wilayah Gyeongsang dan Yeongnam, selain turut terlibat dalam usaha bantuan kecemasan di peringkat antarabangsa bersama ahli kumpulan Aespa yang lain.
Malah, sebahagian hasil konsert mereka juga pernah disalurkan untuk membantu mangsa kebakaran hutan di Los Angeles, Amerika Syarikat, menunjukkan komitmen berterusan kumpulan tersebut dalam menyokong isu kemanusiaan global.
Dalam perkembangan lain, Aespa dijangka akan meneruskan jelajah Asia ‘2025–26 Aespa Live Tour SYNK: aeXIS Line’ dengan persinggahan seterusnya di Jakarta, Indonesia pada 4 April ini, sekaligus mengekalkan momentum populariti mereka di peringkat antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.