Waspada Jerebu! Sultan Pahang Titah Rakyat Dirikan Solat Hajat & Henti Pembakaran Terbuka

Share

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini menyeru seluruh rakyat khususnya umat Islam untuk memperbanyakkan solat hajat dan doa agar hujan diturunkan sebagai ikhtiar menangani masalah jerebu yang semakin meruncing di negara ini.

Titah baginda, amalan pembakaran terbuka perlu dihentikan segera kerana ia menjadi antara punca utama pencemaran udara dan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.

“Harap jerebu ini dapat dikurangkan pada masa akan datang. Doakan hujan turun, insyaAllah. Buatlah solat hajat, mohon kepada Allah SWT agar jerebu ini berkurang dan terus tiada,” titah baginda selepas menyantuni keluarga Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar di Felda Lembah Klau, Raub.

Sultan Pahang Ketika Berangkat Ziarah Keluarga Allahyarham Imam Tengku Badri Tengku Jaafar

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dan menekankan aspek keselamatan serta kesihatan diri, lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak yang mudah terdedah kepada risiko penyakit akibat jerebu.

“Nasihat saya kepada mereka yang masih melakukan pembakaran terbuka, eloklah dihentikan. Ia amat merugikan dan memberi kesan langsung kepada kesihatan rakyat”

“Jika keadaan jerebu ini semakin teruk, elakkan anak-anak bermain di luar rumah. Jaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing,” titah baginda lagi.

Sultan Pahang menyeru rakyat untuk menghentikan pembakaran terbuka

Dalam lawatan tersebut, baginda turut ditemani Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar serta memberi semangat kepada balu Allahyarham, Puziah Musa (57) sekeluarga.

Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar (60) merupakan Imam Masjid Ar Rahmat dan sebuah perkongsian video beliau rebah ketika sedang memimpin solat Jumaat menjadi tular dan meraih perhatian ramai. Detik tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid kemudian beliau disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Sementara itu, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan amaran tegas agar pembakaran sisa pertanian dan kebun dihentikan serta-merta bagi mengelakkan penularan jerebu semakin parah. Langkah pencegahan bersepadu disarankan bagi mengawal keadaan daripada terus memburuk.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE