
Dalam perjalanan hidup, ada individu yang hadir sebagai definisi sebenar ketabahan. Salah seorang daripadanya ialah Faraashikin Azman, 40, yang tetap cekal meneruskan pengajian Sarjana Sains (Pengurusan Pelancongan) walaupun sedang berjuang melawan Gastrointestinal Stromal Tumor (GIST), sejenis kanser yang menyerang saluran pencernaan.
Lebih manis, perjuangannya itu ditemani oleh suami tercinta, Nur Zamahuri Ramly, 40, yang mengikuti program pengajian sama. Pasangan ini memulakan langkah mereka pada September 2021 dan akhirnya berjaya menamatkannya bersama-sama.
Faraashikin mengimbau saat paling genting dalam hidupnya apabila disahkan menghidap GIST sewaktu melahirkan anak kedua. Ujian itu bertambah berat apabila ketumbuhan tersebut pecah ketika berpantang, menyebabkan beliau koma.
Sebaik sedar, doktor memaklumkan sesuatu yang meruntun jiwa iaitu sel-sel kanser telah merebak ke organ lain dan beliau perlu melalui beberapa siri pembedahan.
“Alhamdulillah, saya bebas daripada kanser antara tahun 2021 hingga 2024. Namun, pada tahun lalu, kanser tersebut kembali merebak dan sehingga kini, saya telah menjalani lima pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian usus kecil, usus besar dan hati.
“Ini adalah cabaran yang saya harus tempuhi untuk menamatkan pengajian, sambil terus berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Sungai Petani,” katanya.
Menariknya, Faraashikin berkata dia sebenarnya tidak merancang untuk melanjutkan pelajaran kerana komitmen lain lebih mendesak. Namun, atas sokongan dan dorongan rakan sekerja, beliau dan suami akhirnya membuka pintu baharu dalam hidup mereka dengan menyambung pengajian di peringkat sarjana.
Pasangan ini memilih untuk belajar di
Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi merasai pengalaman pembelajaran dalam suasana yang berbeza dan segar.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUM News