
Baru-baru ini, majalah fesyen terkenal, Vogue mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila menerbitkan artikel berjudul ‘Is Having A Boyfriend Embarrassing Now?’ yang ditulis oleh Chanté Joseph. Artikel tersebut menjadi tular selepas penulis berkenaan membangkitkan persoalan sama ada mempunyai teman lelaki kini dianggap memalukan dalam era moden.
Majoriti pengguna di media sosial memberikan reaksi bersetuju dengan pandangan tersebut, termasuklah wanita bujang dan juga mereka yang berada dalam hubungan jangka panjang namun memilih untuk tidak menonjolkan pasangan mereka di media sosial. Fenomena ini menunjukkan bahawa cara masyarakat melihat hubungan dan konsep mempunyai teman lelaki kini berubah dengan ketara.
Menerusi artikel berkenaan, Chanté membincangkan bagaimana persepsi terhadap hubungan pada masa kini telah berubah. Menurut beliau, trend menayangkan pasangan di media sosial atau ‘hard launch’ sudah berakhir dan digantikan dengan ‘soft launch’ di mana seseorang individu hanya berkongsi gambar dua gelas minuman di atas meja atau sekadar menunjukkan belakang kepala pasangan ketika keluar berjanji temu.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa ramai wanita kini cenderung menyorok wajah pasangan kerana tidak mahu terlalu menonjolkan kewujudan mereka secara terbuka. Chanté turut memetik penulisan dalam ‘Substack Boyfriend Land’ oleh Tell The Bees yang menerangkan bagaimana interaksi sosial wanita sering berpusat kepada “my man, my man, my man”, sedangkan lelaki jarang menonjolkan pasangan mereka dengan cara yang sama.
Penulis itu menjelaskan bahawa jika masyarakat telah lama menganggap mempunyai teman lelaki sebagai pencapaian tertinggi, maka tidak hairanlah jika ramai wanita menjadi terlalu fokus terhadap hubungan mereka. Namun, perubahan sosial masa kini menunjukkan wanita semakin bebas menentukan identiti tanpa perlu bergantung kepada pasangan lelaki.
Dalam penulisannya, Chanté menulis bahawa keinginan untuk menyeimbangkan dua dunia; untuk menikmati kelebihan sosial kerana mempunyai pasangan tetapi pada masa sama tidak mahu kelihatan terlalu obses telah mencetuskan dilema baru dalam budaya moden. Perbincangan ini turut dikaitkan dengan fenomena bintang ternama seperti Taylor Swift dan Lily Allen yang sering menjadi tumpuan umum apabila membincangkan topik cinta, perpisahan, dan nilai konservatif dalam karya mereka.
Contohnya, Taylor Swift dikritik selepas pertunangannya kerana dianggap mempromosikan nilai tradisional konservatif dalam album terbarunya berjudul ‘The Life of a Showgirl’. Begitu juga dengan penyanyi Lily Allen yang menghasilkan album perpisahan ‘West End Girl’ selepas berdepan perceraian yang dianggap memalukan bagi sesetengah pihak.
Dalam pada itu, Chanté berkongsi pandangan pengikutnya yang menunjukkan reaksi bahawa stigma terhadap hubungan terbuka di media sosial semakin ketara dalam kalangan wanita masa kini. Salah seorang pengikutnya berkata:
“Saya pernah dalam hubungan 12 tahun tapi tak pernah sekalipun post dia. Kami baru berpisah, dan rasanya saya takkan post lelaki lagi. Saya ni romantik, tapi lelaki tetap akan memalukan kamu walaupun dah 12 tahun.”
Kenyataan ini menggambarkan perubahan besar dalam cara wanita melihat nilai hubungan dan konsep mempunyai teman lelaki. Ramai kini lebih berhati-hati, malah ada yang melihat menjadi ‘single’ sebagai bentuk kebebasan dan kekuatan baru.
Chanté turut menyentuh tentang fenomena pempengaruh yang kehilangan pengikut selepas berkongsi tentang pasangan masing-masing. Fenomena ini memperlihatkan bagaimana masyarakat moden menilai wanita berdasarkan status hubungan mereka. Pada masa yang sama, bagi sesetengah individu, status bujang kini menjadi simbol kebebasan, kekuatan, dan ekspresi diri yang autentik.
Di penghujung artikelnya, Chanté menegaskan bahawa perubahan peranan tradisional wanita telah membuka ruang untuk menilai semula pandangan terhadap heteroseksualiti dan norma sosial. Menurutnya, tidak salah untuk jatuh cinta, namun tidak juga salah untuk memilih hidup tanpa pasangan.
Chanté menutup penulisannya dengan mesej bahawa selagi masyarakat berani mempersoalkan norma lama, konsep mempunyai teman lelaki akan kekal sebagai topik yang rapuh namun penting dalam perbincangan budaya moden. Persoalan ini bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang identiti, kebebasan, dan bagaimana wanita melihat diri mereka dalam dunia yang semakin berubah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.