
Apa yang bermula sebagai satu rakaman biasa pelanggan di sebuah restoran makanan segera akhirnya bertukar menjadi perbincangan serius tentang beban kerja, kekurangan staf dan tekanan hidup golongan berpendapatan rendah.
Nykia Hamilton, ibu tunggal berusia 25 tahun dari Columbia, Carolina Selatan, menjadi tular selepas sebuah video TikTok memaparkan dirinya bekerja sendirian sepanjang syif 12 jam di sebuah cawangan Burger King.
Dalam rakaman tersebut, dia dilihat menguruskan pesanan drive-thru, memasak makanan, membersihkan premis serta menambah stok semuanya tanpa bantuan staf lain.
Difahamkan, rakan sekerjanya berhenti kerja di pertengahan syif, meninggalkan Hamilton mengendalikan operasi restoran seorang diri.
Situasi ini menyebabkan isu viral kerja seorang diri di restoran menjadi perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Video berkenaan meraih jutaan tontonan. Hamilton dipuji sebagai simbol ketabahan dan dedikasi. Ada yang menggelarnya “superwoman”, manakala ada juga yang menyifatkannya sebagai gambaran sebenar tekanan kerja dalam industri perkhidmatan.
Ramai mempersoalkan bagaimana sebuah rangkaian makanan segera yang besar boleh membenarkan operasi berjalan dengan hanya seorang pekerja dalam satu syif yang panjang.
Susulan tularnya video tersebut, satu kempen GoFundMe dilancarkan bagi membantu Hamilton dan tiga anaknya. Dana yang dikumpulkan hampir mencecah AS$70,000 hasil sokongan orang ramai yang tersentuh dengan kisahnya.
Bagi sesetengah pihak, sumbangan itu dianggap sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap nasib pekerja yang terperangkap dalam sistem kerja yang mencabar.
Namun, di sebalik simpati dan sumbangan tersebut, isu viral kerja seorang diri di restoran ini memasuki fasa yang lebih menyedihkan.
Dalam satu video lain yang dimuat naik selepas itu, Hamilton tampil dalam keadaan sebak dan mendedahkan bahawa dia telah dipecat. Menurutnya, tindakan itu diambil kerana dia lewat hadir ke tempat kerja kelewatan yang berpunca daripada urusan anak-anaknya.
Sebagai ibu tunggal, Hamilton menegaskan bahawa keutamaan adalah kebajikan anak-anaknya.
Dia juga menyatakan bahawa majikan tidak menyediakan atau membiayai penjagaan anak, menjadikan pengurusan masa sebagai cabaran besar dalam kehidupan hariannya.
Lebih menyedihkan, Hamilton mengakui bahawa kemasyhuran akibat viral bukan sesuatu yang dia minta. Dia tidak pernah berniat untuk menjadi perhatian umum, dan pendedahan tersebut membuatkan dirinya berasa terdedah ketika sedang berdepan tekanan hidup.
Kes ini kini mencetuskan persoalan lebih besar tentang polisi pengurusan kakitangan, kekurangan staf dalam industri makanan segera serta sejauh mana syarikat menyokong pekerja yang berdepan cabaran keluarga.
Kisah Hamilton bukan sekadar cerita viral. Ia menjadi cerminan dilema ramai pekerja barisan hadapan antara tanggungjawab kerja dan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa. Dalam banyak keadaan, pilihan yang ada sangat terhad dan tekanan yang dihadapi tidak terlihat oleh pelanggan.
Di persimpangan antara komitmen kerja dan tanggungjawab sebagai ibu, kadang-kadang harga yang perlu dibayar adalah terlalu mahal.
Sumber : The National Desk
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.