Varian Arcturus: Tidak Mustahil Pemakaian Pelitup Muka Akan Diwajibkan Semula Oleh KKM

Share

Enam kes varian baharu COVID-19 XBB1.16 atau Arcturus telahpun dikesan di Lembah Klang kelmarin lantas menjadikan jumlah kes dijangkiti meningkat kepada 12 di Malaysia, setakat ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa empat kes bagi varian itu telah dikesan di Selangor manakala dua lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Enam lagi kes awal dikesan di Sarawak.

Katanya, individu yang dijangkiti Arcturus yang merupakan subvarian kepada wabak Omicron didapati hanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Mata Jadi Merah? Kamu Mungkin Dijangkiti Arcturus, Subvarian Terbaru COVID-19 – REMAJA

Begitupun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) enggan mengambil mudah peningkatan kes varian baharu Arcturus ini dan kini mencadangkan agar langkah pengawalan COVID-19 dengan mengesyorkan pemakaian pelitup muka dibuat di peringkat sekolah selepas cuti perayaan Aidilfitri.

Maklum Dr Zaliha lagi, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi membincangkan perkara ini.

Besar kemungkinan, garis panduan prosedur operasi standard atau SOP membabitkan pelajar di sekolah akan dikeluarkan sebelum persekolahan bermula pada 2 Mei 2023 sebagai langkah berjaga-jaga.

Foto Hiasan: Pexels (August de Richelieu)

Tambahan lagi, tidak mustahil langkah pencegahan sama akan dilaksanakan kepada orang awam pula sekiranya jumlah kes baharu terus meningkat.

Lihat sahajalah kepada ibu negara Vietnam, Hanoi yang telahpun melaksanakan semula peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak sejak Ahad lalu.

Malah, beberapa negeri di India juga mewajibkan peraturan sama berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19, baru-baru ini.

Adakah Malaysia juga akan mengambil langkah serupa? Sama-sama kita nantikan makluman daripada KKM.

SUMBER: (1)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IKLAN