
Satu lagi pencapaian membanggakan berjaya dilakar institusi pendidikan tinggi negara apabila Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tersenarai dalam kelompok tujuh universiti terbaik dunia menerusi Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata, USM berjaya melonjak ke kedudukan kelima dunia manakala UKM berada di tangga ketujuh daripada lebih 1,600 universiti yang dinilai berdasarkan sumbangan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan universiti, ahli akademik, penyelidik, kakitangan serta para pelajar yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan tersebut.
Menurut Zambry, pencapaian berkenaan membuktikan universiti Malaysia bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah berupaya memberi impak besar terhadap pembangunan masyarakat serta agenda kemampanan di peringkat global.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia,” tambahnya.
Kejayaan yang diraih USM dan UKM ini sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai antara negara yang semakin menyerlah dalam landskap pendidikan tinggi dunia, khususnya menerusi komitmen terhadap pembangunan mampan dan kerjasama antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.