
Malaysia terus membuktikan keupayaannya di peringkat global apabila empat universiti tempatan berjaya menempatkan diri dalam 150 universiti terbaik dunia 2026 berdasarkan QS World University Rankings yang diumumkan oleh QS TopUniversities baru-baru ini.
Bagi pelajar dan anak muda Malaysia, inilah bukti bahawa kita tidak perlu ke luar negara untuk mendapatkan pendidikan bertaraf dunia. Institusi tempatan kini semakin diiktiraf di mata dunia atas kehebatan akademik, penyelidikan, dan kebolehpasaran graduan yang semakin tinggi.
Universiti Malaya (UM) Kekal Juara
Antara yang paling membanggakan, Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukan sebagai universiti nombor satu di Malaysia dan kini berada di tangga ke-58 dunia dengan skor 80.1. UM terus menunjukkan kecemerlangan dalam reputasi akademik, penyelidikan serta sumbangan terhadap pembangunan global, sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam senarai universiti terbaik dunia 2026.

Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mencatat pencapaian luar biasa apabila menduduki tangga ke-126 dunia dengan skor 65.2. Diikuti rapat oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang masing-masing berkongsi kedudukan ke-134 dunia dengan skor 64.1.
Empat universiti ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, tetapi juga simbol kejayaan anak muda Malaysia dalam mencipta nama di pentas antarabangsa.
Institusi Lain Pun Semakin Meningkat
Selain empat universiti utama ini, beberapa lagi institusi pendidikan tinggi turut menunjukkan peningkatan prestasi dalam QS universiti terbaik dunia 2026:
- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – tangga ke-153 dunia
- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) – tangga ke-251
- Taylor’s University – tangga ke-253
- UCSI University – tangga ke-269
- Sunway University – tangga ke-410
Kedudukan ini menunjukkan bahawa universiti di Malaysia kini bukan sahaja menghasilkan graduan berilmu, tetapi juga berfikiran global dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden.

Bagaimana Penilaian QS Dibuat?
Penilaian QS tahun ini menggunakan metodologi baharu yang lebih menyeluruh, melibatkan lapan kriteria utama termasuk:
- Reputasi akademik (40%)
- Reputasi majikan (10%)
- Nisbah fakulti/pelajar (20%)
- Pemetikan penyelidikan (20%)
- Kepelbagaian pelajar & fakulti antarabangsa (10%)
Menariknya, QS turut memperkenalkan metrik baharu seperti kelestarian (5%), hasil pekerjaan graduan (5%), dan rangkaian penyelidikan antarabangsa, bagi menilai sejauh mana universiti memberi impak positif kepada masyarakat dan dunia sebenar.

Bukti Kehebatan Anak Muda Malaysia
Pencapaian ini bukan sekadar angka di atas kertas ia adalah hasil kerja keras para pelajar, pensyarah dan penyelidik muda Malaysia yang terus berusaha mengangkat nama negara ke peringkat tertinggi. Kejayaan dalam senarai universiti terbaik dunia 2026 ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara semakin mantap dan berdaya saing.
Lebih membanggakan, kejayaan ini memberi harapan kepada pelajar lepasan SPM dan STPM bahawa impian belajar di universiti bertaraf dunia kini boleh dicapai di tanah air sendiri.
Malaysia kini berdiri megah di peta pendidikan dunia dan generasi muda kitalah yang akan terus mencorakkan masa depan itu.
🎓 Tahniah buat semua institusi yang berjaya! Teruskan membina nama, kerana masa depan dunia sedang menanti tenaga muda Malaysia yang berwawasan dan berinspirasi. 🌏✨
Sumber: Utusan Online
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

