
Penyanyi remaja berbakat, Ummi Umairah atau lebih dikenali sebagai Umai, kini mencuri perhatian ramai apabila tampil berhijab sepenuhnya. Penampilan baharunya itu mengejutkan peminat selepas tiga hari lalu, Umai memuat naik foto berhijab di laman media sosialnya yang pantas menerima pujian dan doa daripada warganet.
Perkara itu disahkan sendiri oleh ibunya, Siti Saerah Tarudin, 42, yang juga adik kepada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza. Menurut Saerah, keputusan Umai berhijab sepenuhnya dibuat atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Alhamdulillah, Umai mula bertudung atas kehendaknya sendiri. Apabila dia mula mengenakan tudung, dia kata dia lebih berasa tenang. Sebagai seorang ibu, tentunya saya sangat bersyukur dengan keputusan itu,” ujar Saerah ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya lagi, Umai memilih untuk tidak mengumumkan perubahan imej itu secara terbuka kerana ingin melakukannya secara perlahan-lahan tanpa tekanan.
“Dia tak mahu buat pengumuman apa-apa mengenai hal ini. Dia mahu perlahan-lahan sahaja. Kami sekeluarga mendoakan supaya Umai istiqamah dan terus kuat dengan keputusan yang dibuat,” katanya.
Menurut Saerah, tindakan Umai berhijab bukan kerana dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya datang daripada kesedaran dirinya sendiri.
“Tidak ada sebab tertentu. Dia sendiri rasa sudah bersedia. Beberapa hari sebelum itu, dia mula memakai tudung setiap kali keluar rumah. Saya sempat bertanya sama ada dia benar-benar mahu bertudung, dan dia jawab ya, dia memang mahu,” ujarnya.
Sebagai seorang ibu, Saerah mengakui dirinya terharu dan bersyukur melihat anak perempuannya kini mula menutup aurat.
“Tiada ibu yang tidak mahu melihat anak perempuannya menutup aurat. Saya sendiri berusaha istiqamah bersamanya supaya dia terus kuat. Harap semua pihak dapat sama-sama doakan Umai agar kekal dengan keputusan baik ini,” katanya lagi penuh harapan.
Umai berhijab sepenuhnya pada usia 14 tahun menunjukkan kematangan dan kesedaran diri yang tinggi. Beliau mula dikenali sejak kecil kerana mewarisi bakat nyanyian daripada keluarga seni terkenal itu. Selain suaranya yang merdu, personaliti manisnya juga sering menjadi perhatian di kalangan remaja.
Kini, dengan imej berhijab, Umai bukan sahaja tampil lebih sopan dan matang, tetapi turut menjadi inspirasi buat ramai gadis muda yang sedang berusaha memperbaiki diri. Langkah Umai berhijab ini menjadi bukti bahawa perubahan baik tidak perlu diumumkan secara besar-besaran, cukup dengan keikhlasan hati dan istiqamah dalam setiap langkah.
Semoga Umai terus kuat, diberkati dan menjadi contoh positif buat remaja lain di luar sana.