
Foto: BERNAMA
Universiti Malaya (UM) sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi terbaik negara apabila terus mengekalkan tempat nombor satu di Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turutdalam QS World University Rankings: Sustainability 2026.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, UM memaklumkan bahawa universiti itu berada di kedudukan ke-166 daripada 2,001 institusi di peringkat global, meletakkannya dalam kelompok sembilan peratus teratas universiti paling mampan di dunia. Di Asia pula, UM berada di tangga ke-16, satu pencapaian yang terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju dalam agenda kemampanan.
“Dengan skor keseluruhan yang mengagumkan sebanyak 85.4 daripada 100, prestasi UM mencerminkan komitmen tinggi untuk menyematkan kemampanan merentasi penyelidikan, pengajaran, tadbir urus dan penglibatan komuniti,” menurut kenyataan tersebut.
QS World University Rankings: Sustainability menilai kemampuan universiti menangani cabaran alam sekitar dan sosial global berpandukan metrik yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
UM dalam kenyataannya turut menekankan bahawa universiti itu cemerlang dalam kategori Kesan Sosial, apabila berjaya berada di kedudukan ke-10 di Asia dan ke-163 di dunia. Kejayaan ini dipacu oleh prestasi tinggi dalam subkategori seperti:
• Pertukaran Pengetahuan – kedudukan ke-71 (Skor 97.4)
• Kebolehgajian dan Peluang – kedudukan ke-99 (Skor 96.5)
Dalam kategori Kesan Alam Sekitar, UM berada di tangga ke-177 global dan ke-35 di Asia. Universiti itu juga mengekalkan gelaran sebagai yang terbaik di Malaysia bagi subkategori Tadbir Urus, apabila menduduki tempat ke-397 global.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, menegaskan bahawa pencapaian ini bukan sahaja satu kejayaan, tetapi bukti komitmen UM dalam menerajui perubahan lestari.
“Kami akan terus memajukan agenda SDG serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui kecemerlangan penyelidikan, pendidikan inklusif dan tadbir urus yang bertanggungjawab, memastikan UM bukan sahaja cemerlang di peringkat global tetapi juga memacu impak bermakna bagi kemanusiaan dan alam sekitar,” katanya.
UM menambah bahawa peningkatan berterusan dalam ranking ini mengukuhkan peranannya sebagai peneraju nasional dan serantau dalam memperjuangkan perubahan transformatif, sekali gus menyokong wawasan Malaysia untuk membina masa depan yang
mampan, inklusif dan berdaya tahan.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama