
Terbaru, kumpulan terkenal K-Pop, BLACKPINK kembali mencuri perhatian apabila pengumuman mengenai sambutan ulang tahun ke-10 debut mereka mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat. Acara yang sepatutnya menjadi detik bersejarah itu bagaimanapun menerima kritikan kerana dianggap terlalu eksklusif.
Menerusi satu pengumuman rasmi di platform Weverse, agensi pengurusan BLACKPINK memaklumkan sebuah acara khas akan diadakan pada Sabtu sempena ulang tahun rasmi debut kumpulan itu. Acara tersebut dianjurkan sebagai penghargaan kepada peminat yang telah menyokong perjalanan seni mereka selama sedekad.
Walaupun begitu, maklumat yang dikongsikan dilihat agak terhad apabila waktu dan lokasi sebenar acara tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, hanya peminat yang terpilih akan menerima butiran lanjut, dengan jumlah kehadiran dihadkan kepada 40 orang sahaja.

Keputusan itu pantas mengundang perdebatan dalam kalangan peminat yang mempersoalkan mengapa sambutan sebesar ulang tahun ke-10 hanya melibatkan sebilangan kecil penyokong. Selain itu, terdapat pihak yang mempertikaikan penggunaan Weverse sebagai satu-satunya platform permohonan memandangkan ahli BLACKPINK jarang aktif di aplikasi tersebut sejak kebelakangan ini.
Pada masa yang sama, syarat kelayakan turut menjadi perhatian apabila hanya peminat yang telah memiliki keahlian Weverse sebelum 31 Julai dibenarkan memohon. Ramai berpendapat syarat tersebut tidak adil kerana pendaftaran keahlian sebelum ini masih dibuka ketika jualan awal tiket jelajah dunia BLACKPINK berlangsung.
“Kehadiran ahli BLACKPINK adalah tertakluk kepada jadual individu mereka,” jelas agensi menerusi kenyataan yang sama.

Hal itu sekali lagi mengundang kekecewaan dalam kalangan peminat yang berharap sambutan ulang tahun ke-10 BLACKPINK dapat menghimpunkan keempat-empat anggota dalam satu acara. Mereka turut berpendapat sambutan bersejarah itu sepatutnya memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk turut meraikannya.
Sejak debut pada 2016, BLACKPINK terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan wanita K-Pop paling berpengaruh di dunia menerusi pelbagai lagu hit dan kejayaan kerjaya solo setiap anggotanya. Justeru, ramai kini menantikan sama ada BLACKPINK atau YG Entertainment akan mengumumkan lebih banyak aktiviti bagi memastikan ulang tahun ke-10 mereka dapat diraikan bersama peminat di seluruh dunia.
Sumber: Weverse
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






















