
Pelakon versatil, Shukri Yahaya mengakui berdepan detik mencemaskan apabila mengalami kecederaan akibat letupan pyro ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaharunya, Chelot.
Bagaimanapun, aktor berusia 38 tahun itu bersyukur kecederaan yang dialaminya tidak terlalu serius dan hanya melibatkan bahagian belakang badan, sekali gus mengelakkan kecederaan pada wajah.

Kena Sepihan Kaca Akibat Letupan
Menurut Shukri, insiden tersebut berlaku apabila sepihan daripada letupan pyro menembusi sut keselamatan yang dipakainya sehingga menyebabkan kulit belakang badannya cedera.
“Memang ada kecederaan, badan saya cedera dan terkoyak terkena sepihan ‘pyro’ (letupan melibatkan penggunaan kesan api) yang pecah serta kaca termasuk ke bahagian kulit. Walaupun pakai sut lengkap, kaca itu tetap tembus.
“Selepas itu terus ke hospital dan rawat luka tetapi tiada sebarang jahitan, balut badan dan kembali berlakon sebab bukan masalah besar kerana sebelum ini pernah juga alami kecederaan lebih teruk untuk naskhah lain iaitu pisau tertusuk pada pergelangan tangan.
“Saya tidak serik tetapi selepas ini mungkin akan tanya lebih terperinci mengenai babak-babak sebegini, bila nak meletup atau sebagainya cuma nasib baik kali ini hanya terkena pada badan sahaja, kalau muka, habis herot,” katanya.

Latihan Sudah Lengkap, Namun Kemalangan Tetap Berlaku
Mengulas lanjut, Shukri berkata dia sendiri tidak menyangka kejadian tersebut boleh berlaku memandangkan semua babak aksi telah melalui beberapa sesi latihan sebelum penggambaran sebenar.
Malah, dia turut menjelaskan bahawa semua aksi dalam filem arahan Adrian Teh itu dilakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri (stuntman).

“Sebenarnya sewaktu latihan yang kami lakukan tiga kali, semuanya sudah okey dan sempurna tetapi entah kenapa lain pula berlaku ketika penggambaran sebenar.
“Ketika penggambaran, saya sendiri tidak tahu mana silapnya, mungkin ‘timing’ saya berlari salah atau letupan itu terlalu awal.
“Walaupun sudah terkena letupan itu, saya tetap teruskan sebab babak itu hanya ‘one take’ sahaja dan melibatkan ramai orang,” katanya lagi.

Chelot Tampilkan Barisan Pelakon Hebat
Selain Shukri, Chelot turut dibarisi nama besar seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Alicia Amin, Nadhir Nasar dan Azhan Rani.
Filem aksi arahan Adrian Teh itu dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 Ogos ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!





















