
Bahaya dunia digital memang tak kenal siapa. Bukan saja orang biasa, malah keluarga tokoh terkenal pun boleh jadi sasaran. Itulah yang berlaku kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, apabila anak lelakinya yang berusia 12 tahun dan isterinya sendiri menjadi mangsa ugutan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut Rafizi, mesej pertama diterima isterinya pada jam 1.12 pagi daripada nombor tidak dikenali dengan kata-kata “diam andai teruskan AIDS”. Ugutan sama dihantar sekali lagi pada jam 11.02 pagi hari berikutnya, kali ini siap dengan tiga emoji picagari. Ancaman ini bukan sekadar kata-kata kosong, tetapi bertujuan menakut-nakutkan keluarganya agar beliau menghentikan pendedahan isu-isu tertentu termasuk skandal yang sedang disiasat.
“Isteri dan anak saya hanya berdua. Mereka fikir kalau ugut mereka, saya akan ubah keputusan. Itu psikologi biasa,” jelasnya dalam sidang media di Parlimen. Semua maklumat mengenai ugutan ini telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kes ini jadi peringatan bahawa ugutan digital atau cyberbullying boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebagai remaja, kita kena bijak melindungi diri dan maklumat peribadi di dunia online. Antaranya:
Jangan dedah nombor telefon atau lokasi sebenar di media sosial.
Abaikan dan simpan bukti mesej ugutan.
Laporkan segera kepada pihak berkuasa atau platform media sosial.
Jaga diri, jaga privasi, dan sentiasa berwaspada. Sebab bahaya boleh datang tanpa amaran, walaupun hanya melalui satu mesej di skrin telefon.
Sumber : Sinar Harian