
Bintang K-Pop popular, Tomorrow X Together (TXT) baru-baru ini meraih perhatian apabila melancarkan kempen global terbaru bersama UNICEF bagi menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan remaja di seluruh dunia.
Menurut laporan media antarabangsa, kempen yang dinamakan Together for Tomorrow ini memberi fokus kepada empati sebagai asas penting dalam menjaga kesihatan mental. Ia juga menggalakkan perbualan terbuka, mengurangkan stigma, serta memberi kuasa kepada remaja untuk membina ketahanan diri sesuai dengan pada awal kemunculan TXT yang dikenali sebagai kumpulan yang menekankan nilai empati dan kebersamaan melalui muzik mereka.
Dalam pada itu, nama kumpulan itu sendiri, Tomorrow X Together, membawa maksud bersatu di bawah satu impian untuk hari esok yang lebih baik, seiring dengan mesej utama kempen ini. Kerjasama tersebut turut disokong dengan komitmen dana sebanyak AS$1.4 juta daripada label agensi, BigHit Music untuk program berkaitan kesejahteraan remaja dan kempen global bagi menghapuskan stigma.
Di majlis pelancaran, TXT bertemu dengan Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, untuk membincangkan kepentingan projek ini. Acara yang dihoskan oleh pelakon Justin Min, Duta UNICEF USA, dimulakan dengan ucapan daripada Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Kitty van der Heijden, dan diikuti dengan ucapan penghargaan oleh Cho Mijin, Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Korea untuk UNICEF.
Menurut ketua kumpulan TXT, Choi Soobin (25) dalam ucapan penuh emosi mewakili ahli kumpulan berkata, “Sepanjang perjalanan muzik kami, kami belajar bahawa meluahkan perasaan adalah tanda kekuatan.”
“Kini dengan kempen bersama UNICEF, kami mahu membantu mewujudkan ruang yang selamat dan inklusif untuk remaja bebas meluahkan emosi mereka,” jelasnya lagi.
Pada majlis yang sama juga menampilkan sesi soal jawab bersama pemimpin belia UNICEF di mana TXT menjawab soalan tentang bagaimana muzik membantu mereka mencari kekuatan emosi, sambil menekankan nilai empati, kebaikan hati dan harapan untuk masa depan remaja yang lebih sihat di seluruh dunia.
Sesi itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemimpin belia untuk menyuarakan pandangan, malah mengukuhkan lagi misi kempen ini yang mahu memperkasakan suara remaja dalam isu kesihatan mental. Selain itu, ia menjadi platform bermakna untuk mendengar secara langsung pengalaman dan harapan generasi muda.
Melalui kerjasama ini, TXT akan terus menggunakan pengaruh mereka untuk menyokong inisiatif kempen dan memberi impak lebih besar dalam menyebarkan kesedaran tentang kesihatan mental. Untuk perkembangan terkini, TXT sedang menjalani siri konsert jelajah dunia keempat mereka ‘Act: Tomorrow’ yang bakal menutup tirai bahagian Amerika Utara di Prudential Center, Newark pada 1 dan 2 Oktober ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.