
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, disahkan mengalami kecederaan retak tulang pinggul kanan dan kini sedang menjalani rawatan serta pemantauan rapi selama beberapa minggu.
Perkembangan terkini itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff susulan insiden terjatuh yang berlaku di kediaman Tun Mahathir sekitar waktu pagi, semalam.
BACA: Tun Mahathir Dimasukkan Ke IJN Selepas Terjatuh Di Kediaman
Menurut Sufi, tokoh politik yang kini berusia lebih 100 tahun itu dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan dimasukkan ke hospital dalam keadaan sedar sekitar jam 9.30 pagi.
“Selepas penilaian pasukan perubatan, disahkan bahawa Tun Mahathir mengalami retak di bahagian pinggul kanannya,” kata Sufi dalam satu kenyataan ringkas.
Beliau turut memaklumkan bahawa Tun Mahathir dijangka akan ditahan di wad selama beberapa minggu bagi tujuan rawatan dan pemantauan lanjut.
“Beliau dijangka akan ditahan di wad untuk beberapa minggu bagi menjalani rawatan dan pemantauan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Sufi turut mengesahkan bahawa insiden tersebut berlaku ketika Tun Mahathir sedang bergerak dari balkoni ke ruang tamu di kediamannya.
Untuk rekod, pada 13 Julai 2025, Tun Dr Mahathir pernah dikejarkan ke IJN akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada jam 4.45 petang hari yang sama selepas menerima rawatan dan pemantauan ringkas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.