
Terbaharu, tular di media sosial trend pengambilan celtic salt atau lebih dikenali sebagai garam bukit yang didakwa mampu mengurangkan rasa haus sepanjang menjalani ibadah puasa.
Trend ini sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen, benarkah ia membantu tubuh kekal terhidrat atau sekadar mitos semata-mata?
Kongsi doktor itu lagi, garam bukit mampu membantu mengurangkan rasa haus sepanjang berpuasa kerana ia boleh mengurangkan kekerapan membuang air kecil, namun tetap tidak boleh diambil secara berlebihan.
“Namun dari segi kesan fisiologi terhadap dehidrasi, garam ini masih berfungsi sama seperti garam biasa kerana ia masih mengandungi sodium yang tinggi.
“Sodium ini masih akan meningkatkan kepekatan darah, menyebabkan air ditarik keluar dari sel dan akhirnya meningkatkan rasa haus.
“Otak akan mengesan kepekatan sodium yang meningkat dan menghantar isyarat haus dan ini akan menyebabkan berasa lebih dahaga,” kongsi Public Health Malaysia di Facebook.
Tambah perkongsian itu lagi, cara paling efektif untuk mengurangkan dahaga semasa berpuasa adalah dengan minum air secukupnya antara waktu berbuka hingga sahur iaitu sekitar enam hingga lapan gelas sehari.
Selain itu, orang ramai juga disarankan mengurangkan pengambilan makanan tinggi garam termasuk garam celtic dan tidak mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Pilihan makanan semula jadi yang tinggi elektrolit seperti pisang, kurma dan air kelapa turut membantu dalam mengekalkan keseimbangan cecair badan.
Maka, garam celtic bukanlah solusi khas untuk menghilangkan rasa haus. Sedikit garam mungkin membantu keseimbangan elektrolit, namun kunci utama kekal pada hidrasi yang mencukupi dan pemilihan makanan yang betul.
Malah, tiada bukti kukuh bahawa garam celtic secara khusus mampu menghilangkan rasa dahaga ketika berpuasa. Secara asasnya, ia tetap natrium klorida (garam), sama seperti garam biasa.
Fakta lebih tepat, sedikit garam boleh membantu keseimbangan elektrolit, tetapi ia bukan ‘magik’ dan tidak sesuai diambil secara berlebihan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.