
Kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, terus mendapat perhatian seluruh negara. Inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner baru-baru ini mendedahkan fakta mengejutkan apabila seorang pakar patologi mengesahkan punca kematian arwah bukan kerana jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri.
Menurut Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, beliau meneliti rekod perubatan, imbasan CT dan CTA, selain melakukan pemeriksaan lokasi kejadian di asrama arwah pada 2 Ogos lalu.
Menurut laporan Harian Metro, hasil pemeriksaan mendapati rel besi di tingkat tiga berukuran 118 sentimeter, manakala ketinggian Zara Qairina ialah 154 sentimeter. Perbezaan 36 sentimeter itu menyebabkan rel berada di atas pusat graviti arwah. Dengan ukuran sebegini, mustahil arwah boleh jatuh hanya kerana berdiri di tepi tembok.
“Berdasarkan pemerhatian, kemungkinan besar arwah perlu memanjat tembok konkrit dan melepasi rel besi sebelum berada di bahagian atas,” jelas Dr Jessie ketika membacakan kenyataan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Inkues ini berlangsung pada 2 hingga 3 September, dan akan bersambung lagi pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September ini. Tujuannya adalah untuk merungkai punca sebenar kematian yang masih menjadi tanda tanya.
Dr Jessie, yang berpengalaman sejak 1998 dan mengendalikan purata 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun, turut memaklumkan bahawa beliau sering dipanggil sebagai saksi pakar di pelbagai peringkat mahkamah.
Tragedi Zara Qairina bukan sekadar kisah duka sebuah keluarga, tetapi juga membuka mata ramai remaja tentang kepentingan menjaga keselamatan diri, terutamanya apabila tinggal di asrama atau tempat awam.
Semoga roh Allahyarhamah Zara Qairina ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Buat keluarga yang ditinggalkan, semoga terus tabah menempuh ujian berat ini.
BACA LAGI : Kes Zara Qairina: “Wujud Elemen Buli, Pengabaian Dan Gangguan Seksual” – Menteri Dalam Negeri
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.