
Insiden tragik yang meragut nyawa enam sekeluarga selepas kereta yang mereka naiki ditemui di dasar Sungai Korok, Kedah awal pagi semalam meruntun perasaan ramai, termasuk usahawan terkenal, Datuk Seri Vida (DSV).
Menerusi perkongsian di Instagram, DSV turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian itu dan menyedekahkan bacaan surah al-Fatihah sebagai penghormatan terakhir kepada mangsa.
BACA: Tragedi Sungai Korok: “Saya Juga Ada Anak, Memang Sayu Bila…” – Anggota Bomba
Perkongsiannya itu turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang sama-sama menitipkan doa serta ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita yang mengikuti berita ini turut sama bersedih,” komen seorang netizen.
“Semoga ahli keluarga mangsa kemalangan ini diberi kekuatan dan satu-satunya anak yang masih ada terus tabah atas kehilangan ini,” tulis seorang lagi pengguna Instagram.
Untuk rekod, kejadian menyayat hati itu berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri bersama empat anak mereka termasuk seorang bayi berusia enam bulan yang ditemui di dasar sungai selepas dilaporkan hilang.
Siasatan mendapati terdapat kesan kenderaan terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai tersebut dan insiden itu dipercayai berlaku pada hari Sabtu. Ahli keluarga mangsa turut membuat laporan orang hilang selepas gagal menghubungi mereka.
Bagi Vida sendiri, insiden ini turut mengingatkan beliau kepada tragedi lampau yang menimpa keluarganya. Pada Ogos 2013, dua anaknya iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, 11, dan Muhammad Edrie Zikrie, 10 yang meninggal dunia selepas lemas dalam kebakaran yang berlaku di kediaman dua tingkat merangkap asrama pekerjanya di Meru, Perak.
Kini, Vida masih mempunyai dua cahaya mata iaitu Nur Edlynn Zamileen, 20, atau lebih dikenali sebagai Cik B, serta Eric Zaquan (Kacak), 18.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.