
Bintang aksi legenda Thailand, Tony Jaa, kini sedang melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya apabila dilaporkan menjalani rawatan kanser pundi hempedu sejak didiagnosis pada Jun 2024.
Menurut laporan media Thailand, aktor terkenal itu pada awalnya mengalami sakit perut berpanjangan serta simptom jaundis yang berterusan. Keadaan tersebut mendorong beliau menjalani pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan kehadiran kanser pundi hempedu.
Lebih membimbangkan, penyakit berkenaan dilaporkan telah berada pada tahap 3 dan hampir ke tahap 4 ketika diagnosis dibuat. Tahap ini lazimnya memerlukan rawatan segera dan agresif kerana risiko komplikasi yang tinggi serta kesan serius terhadap fungsi organ dalaman.
Situasi ini nyata mengejutkan peminat, memandangkan Tony Jaa dikenali sebagai figura yang sangat menjaga kecergasan fizikal dan disiplin latihan sejak awal pembabitannya dalam dunia seni mempertahankan diri.
Bagaimanapun, sumber terdekat memaklumkan bahawa Tony Jaa bertindak pantas dengan menjalani rawatan agresif, termasuk pembedahan dan beberapa sesi kemoterapi yang dirancang oleh pasukan perubatan pakar.
Langkah pantas itu kini menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memberi harapan baharu dalam perjuangan melawan kanser pundi hempedu.
Laporan oleh Channel 3 Thailand menyatakan keadaan Tony Jaa kini berada dalam keadaan lebih stabil.
Walaupun begitu, beliau masih memerlukan pemantauan rapi dan rawatan susulan sepanjang tempoh pemulihan bagi memastikan kesihatannya terus terkawal.
Pasukan perubatan dilaporkan sentiasa memantau tahap tindak balas tubuhnya terhadap rawatan, terutamanya kesan kemoterapi terhadap stamina dan sistem imun.
Kebimbangan peminat mula tercetus selepas aktor itu kelihatan semakin kurus dalam beberapa hantaran di media sosial kebelakangan ini.
Perubahan fizikal tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi apabila tiada kenyataan rasmi dibuat di laman Facebook rasminya mengenai masalah kesihatan sebenar.
Dalam muat naik terbaharu pada 31 Januari, Tony Jaa hanya berkongsi aktiviti penggambaran video muzik baharunya berjudul One More Round
, tanpa menyentuh sebarang isu berkaitan kesihatan.Tony Jaa, atau nama sebenarnya Tatchakorn Yeerum, baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50. Usia tersebut cukup simbolik buat seorang figura yang terkenal dengan aksi fizikal ekstrem, keberanian melakukan aksi sendiri serta disiplin latihan luar biasa.
Bagi peminat, berita mengenai kanser pundi hempedu bukan sekadar kisah penyakit, tetapi ujian terbesar buat seorang legenda aksi yang selama ini sinonim dengan kekuatan luar biasa.
Nama Tony Jaa mula meledak di peringkat antarabangsa menerusi filem Ong-Bak (2003) yang menampilkan seni Muay Thai asli tanpa penggunaan stuntman atau CGI. Kejayaan itu membuka laluan besar ke industri filem Hong Kong dan Hollywood, sekali gus membina reputasi global sebagai ikon filem aksi Asia.
Antara karya besar yang mengukuhkan namanya termasuk Tom-Yum-Goong (2005), Furious 7 (2015), xXx: Return of Xander Cage (2017), Paradox (2017), Master Z: Ip Man Legacy
(2018), Triple Threat (2019) dan Detective Chinatown 3 (2021).Sumber industri hiburan turut memaklumkan bahawa keluarga Tony Jaa sentiasa berada di sisi, memberikan sokongan penuh sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
Buat masa ini, aktor itu memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan berbanding komitmen lakonan.
Ruangan media sosial Tony Jaa kini dibanjiri ucapan semangat, doa dan sokongan daripada peminat seluruh dunia yang berharap ikon aksi itu kembali pulih sepenuhnya.
Sumber : Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.