Tolak Islamofobia, Parkir IKEA Di Jerman Diubah Menjadi Ruang Solat Aidilfitri

Share

 

Jika ada kemahuan, di situ ada jalan.

 

Tatkala umat Islam di seluruh dunia terpaksa menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah kerana masjid serta surau rata-rata tidak mempunyai kapasiti ruang yang cukup untuk membenarkan solat secara penjarakan sosial, lain pula ceritanya dengan di Jerman.

Foto yang dimuat naik oleh seorang wartawan di BBC UK memaparkan bagaimana ruang letak kereta tanpa bumbung di IKEA cawangan Wetzlar (berdekatan Frankfurt) itu bertukar wajah menjadi ruang solat mega.

Tweet yang dimuatnaik oleh @AbdirahimS itu mendapat perhatian apabila ramai kagum dengan usaha IKEA Jerman yang bersifat terbuka kepada umat Islam di sana.

Ia bagi memenuhi tuntutan sunat muakad penduduk Islam di sana yang ingin menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Setiap jemaah bagaimanapun tetap mempraktikkan penjarakan sosial apabila kain sejadah masing-masing diasingkan dengan jarak 1 meter.

Menurut Abdi Rahim, disebabkan perlu mengikut arahan penjarakan sosial itu, penduduk Islam di sana meminta kebenaran daripada pihak IKEA untuk menggunakan ruang luas tersebut dan pihak pengurusan tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenarkannya!

Semasa solat dan khutbah ditunaikan, pihak polis turut didapati dalam keadaan bersedia bagi melindungi jemaah.

Perkembangan tersebut mendapat reaksi positif daripada ribuan pengguna Twitter. Ia sekaligus membuktikan bahawa penduduk di Wetzlar Jerman menolak sebarang bentuk ‘peperangan’ Islamofobia yang sering kedengaran di sekitar benua Eropah.






Malah pihak penganjur dan masjid turut berterima kasih kepada IKEA dan semua yang terlibat kerana telah menjayakan acara tersebut.

Nampaknya, keprihatinan masyarakat masih wujud dalam dunia ini.

NEXT READ : IKEA UK Ajar Resepi Swedish Meatball

IKLAN