
“Saya menulis dan membaca setiap hari dengan satu harapan, agar keluar nanti bukan sekadar sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu ialah kebebasan sebenar.”
Dari jeriji besi ke pentas konvokesyen, perjalanan hidup Mohd Razin membuktikan bahawa kejatuhan bukan noktah kepada masa depan.
Bekas anggota keselamatan ini menamatkan pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) di Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas melalui tempoh getir selama tiga tahun dalam tahanan di Penjara Alor Setar.
Kisah kejayaannya tular di media sosial selepas dikongsi oleh Facebook rasmi UUM, menarik perhatian ramai atas ketabahan luar biasa yang ditunjukkan.
Beliau ditahan pada 20 Jun 2022 di bawah
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan hanya dibebaskan selepas didapati tidak bersalah pada 1 April 2025.“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk hidup di penjara. Segalanya gelap, waktu seakan berhenti,” katanya.
Ketika di sebalik jeriji besi, ujian hidup datang bertimpa-timpa. Isterinya memohon fasakh dan rumah tangga yang baru dibina berakhir dengan perceraian.
“Konflik keluarga dan tekanan kewangan membuatkan perceraian berlaku ketika saya masih ditahan. Jiwa saya hampir rebah.
“Tapi di saat itu saya sedar, ALLAH tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik saya untuk menjadi manusia yang baru,” ujarnya.
Walaupun kehidupannya terbatas dan gajinya ditahan, semangat untuk bangkit tidak pernah padam. Doa menjadi tongkat kekuatan setiap hari.
Dengan bantuan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, Dr. Mazli Mutazam, serta sokongan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan dan Pengarah Penjara Alor Setar, Suhairi Awang, beliau dibenarkan meneruskan pengajian dari dalam penjara.
Setiap helaian tesis disiapkan dalam ruang sempit
8×15 kaki, berlampu samar, tanpa kipas dan hanya beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.“Saya menulis dan membaca setiap hari dengan satu harapan iaitu agar keluar nanti bukan sekadar sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu ialah kebebasan sebenar,” katanya.
Pada 18 September 2024
, beliau hadir ke sesi viva dengan berpakaian ungu tahanan penjara.“Tiada tali leher, tiada uniform rasmi. Tapi saya yakin ilmu mampu membebaskan jiwa.
“Apabila pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu saya tahu, ALLAH tidak pernah meninggalkan saya,” katanya lagi.
Kejayaan ini tidak akan bermakna tanpa sokongan insan paling penting iaitu ibunya.
“Ibu saya berjuang dari luar penjara dengan menyediakan apa sahaja supaya saya dapat terus belajar. Hari ini, beliau paling gembira melihat saya naik ke pentas menerima ijazah,” katanya.
Selepas dibebaskan dan berjaya menamatkan pengajian, Mohd Razin menyifatkan kejayaannya sebagai
dua kemenangan terbesar dalam hidupnya.“Saya bebas selepas mahkamah dapati saya tidak bersalah dan hari ini saya menggenggam ijazah sarjana.
“Kini saya faham, kebebasan sebenar bukan bila pintu sel dibuka, tetapi bila minda tidak lagi dikurung oleh pandangan orang lain,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM, para pensyarah, pegawai penjara serta ibunya yang tidak pernah berhenti percaya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUM News