
Seramai 1,727 pelajar baharu telah mendaftar masuk ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh bagi sesi pengajian 2025/2026 hujung minggu lalu, namun apa yang menarik perhatian ramai ialah kehadiran tiga pasangan kembar yang turut menjadi sebahagian daripada warga baharu institusi ini!
Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO, Mohd Fakrul Razi Jamaluddin
, kesemua pelajar terbabit berusia 18 tahun dan memilih PUO sebagai destinasi untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang.“Pasangan kembar itu menyerikan lagi suasana pendaftaran dan mencerminkan tarikan PUO sebagai institusi pendidikan tinggi dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama,” ujar Mohd Fakrul Razi dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, PUO terus mencipta rekod cemerlang apabila berjaya mencapai 100 peratus pendaftaran pelajar baharu untuk sesi ini, dengan 914 pelajar mendaftar secara rasmi pada 26 Julai, manakala 813 pelajar lagi mendaftar keesokan harinya.
“Seluruh warga kerja PUO menyambut pencapaian 100 peratus ini dengan penuh semangat.
“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap kualiti pendidikan serta persekitaran kondusif yang ditawarkan oleh PUO,” katanya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama