
Seramai 1,727 pelajar baharu telah mendaftar masuk ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh bagi sesi pengajian 2025/2026 hujung minggu lalu, namun apa yang menarik perhatian ramai ialah kehadiran tiga pasangan kembar yang turut menjadi sebahagian daripada warga baharu institusi ini!
Menurut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO, Mohd Fakrul Razi Jamaluddin, kesemua pelajar terbabit berusia 18 tahun dan memilih PUO sebagai destinasi untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang.
Antara pasangan kembar yang mencuri tumpuan ialah, Nurul Syafriend dan Nurul Syafrieza Nasarudindari Rawang, Selangor yang memilih Diploma Pengajian Perniagaan, Saw Xin Ying dan Saw Xin Yi yang mendaftarkan diri dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dan D. Sharran dan D. Sharaniepula memilih untuk menyambung pengajian dalam Diploma Perakaunan.

“Pasangan kembar itu menyerikan lagi suasana pendaftaran dan mencerminkan tarikan PUO sebagai institusi pendidikan tinggi dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama,” ujar Mohd Fakrul Razi dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, PUO terus mencipta rekod cemerlang apabila berjaya mencapai 100 peratus pendaftaran pelajar baharu untuk sesi ini, dengan 914 pelajar mendaftar secara rasmi pada 26 Julai, manakala 813 pelajar lagi mendaftar keesokan harinya.
“Seluruh warga kerja PUO menyambut pencapaian 100 peratus ini dengan penuh semangat.
“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap kualiti pendidikan serta persekitaran kondusif yang ditawarkan oleh PUO,” katanya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bergelar Pemain Ranking Ke-15 Dunia, M Thinaah Tetap Sambung Belajar TESL Di OUM & Terima Biasiswa

Tugas sebagai pemain kebangsaan badminton negara tidak sesekali menghalang Thinaah Muralitharan daripada mengejar segulung ijazah. Dengan pencapaiannya bersama pasangan regu, Pearly Tan yang semakin konsisten di kejohanan dunia, Thinaah tetap mengutamakan pendidikan.
Ibarat mengantuk disorongkan bantal, hasrat Thinaah itu disokong penuh apabila atlet remaja itu menerima biasiswa daripada Open University Malaysia (OUM) pada minggu ini.
Universiti berkenaan menyediakan sokongan kewangan penuh kepada Thinaah bagi tempoh pengajian dari Januari 2023 hingga Mei 2024.
Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah ibu bapa Thinaah dan En Ramash Ananth Ganeson, Pengarah Pusat Pembelajaran Shah Alam OUM iaitu lokasi pengajian Thinaah.

Ditemui dalam acara sidang media majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU), Thinaah, 26 berkongsi bahawa beliau sememangnya sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua – TESL) di OUM sejak Mei 2020.
Dengan pemberian biasiswa tersebut, ia merupakan satu pembakar semangat buat pemain beregu wanita utama negara itu untuk meneruskan konsistensi di gelanggang badminton di samping memastikan pengajiannya diteruskan sehingga tamat kelak.
“Saya percaya (biasiswa) merupakan motivasi terbaik untuk saya. Ya, (kejayaan di Terbuka Perancis) adalah sasaran saya.
“Saya rasa persiapan kita sangat baik. Kita harapkan yang terbaik,” katanya.

Ditebak mengenai jurusan pilihannya itu, Thinaah berkata Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL menjadi pilihan kerana beliau sangat meminati bahasa Inggeris sejak kecil.
“Memandangkan saya sering mengembara, bahasa Inggeris sangat penting.
“Saya bersyukur pengajian tidak menjejaskan jadual pertandingan kerana OUM menyediakan pembelajaran secara dalam talian yang lebih fleksibel. Saya boleh belajar dari mana-mana tempat di seluruh dunia,” tambahnya.
Di pihak universiti pula, Presiden dan Naib Canselor OUM Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata OUM menawarkan biasiswa itu kepada Thinaah kerana kagum dengan prestasi akademiknya pada masa sama menunjukkan pencapaian luar biasa dalam sukan badminton.

“Pencapaian anda adalah gambaran terhadap nilai yang kami pegang di OUM – dedikasi dan komitmen untuk mencapai kecemerlangan. Kami yakin anda akan terus membanggakan kita semua di dalam dan luar gelanggang badminton,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Thinaah dan Pearly yang kini menduduki ranking ke-15 dunia akan memulakan pertarungan dalam Terbuka Perancis di Paris pada 5 hingga 10 Mac ini dengan berdepan pasangan China yang juga beregu kelima dunia, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Remaja On Road Gegar MSU Shah Alam! Chef Fikree Sempat Sajikan Menu Sihat & Mudah Dengan Sentuhan KEWPIE

Baru-baru ini, Remaja memilih School of Hospitality & Culinary Arts (SHCA), Management and Science University (MSU) Shah Alam sebagai lokasi pilihan untuk menjayakan program jelajah Remaja on Road bersama-sama jenama pilihan masakan ramai, Kewpie.
Tampil dengan tema ‘Rejuvenate Life through Positive Habit’, antara pengisian utama yang ditekankan menerusi dua segmen utamanya di hadapan 200 orang pelajar MSU adalah bagaimana mereka mengembalikan minda dan badan yang segar setelah bertungkus-lumus dalam hala tuju kerjaya masing-masing serta bagaimana menu sihat amat membantu dalam memastikan korang terus bertenaga.


Kali ini, Remaja On Road menampilkan cef selebriti, Chef Fikree Aznan dan penyanyi serta pelakon berbakat, Wani Kayrie bagi mengajak mereka memberikan buah minda mengenai kepentingan membentuk tabiat positif dalam kehidupan harian.
Dikendalikan penuh santai oleh hos televisyen yang semakin meningkat naik iaitu Irfan Syahmi, masing-masing mengakui tidak senang untuk kita memiliki rutin harian yang senang. Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi biarpun masing-masing dalam haluan kerjaya yang berbeza, mereka menekankan betapa pentingnya untuk pelajar universiti khususnya menitikberatkan soal kesihatan mental.
Antara cara yang disyorkan termasuklah untuk menetapkan me-time korang ketika sedang digasak dengan kesibukan serta untuk memastikan hanya kelompok berfikiran positif sahaja yang berada dalam kalangan circle masing-masing untuk mengelakkan gangguan persekitaran bersifat toksik.


Self-Love Camp
Program diteruskan dengan segmen baharu yang diperkenalkan oleh Remaja iaitu Self-Love Camp di mana cef jemputan menunjukkan demonstrasi penyediaan menu sihat dan mudah.
Kali ini, Self-Love Camp yang dibawakan khas oleh Kewpie Malaysia membawakan Chef Fikree Aznan bagi menyediakan resepi wrapped sandwic atau burrito menggunakan beberapa produk keluaran Kewpie termasuklah Kewpie Japanese Style Mayonnaise, Kewpie Chilli Mayo dan Kewpie Roasted Sesame Dressing.
Chef Fikree mengajak naik enam pelajar MSU ke atas pentas untuk turut serta menyediakan hidangan tersebut dan sesi bertambah rancak dengan gelagat masing-masing.

“Baru saya tahu, Remaja On Road cukup meriah kerana ia mengumpulkan jumlah pelajar yang ramai yang memberi sokongan apabila kita bercakap dan melakukan demonstrasi masakan.
“Semua yang hadir di auditorium hari ini telah beri kerjasama yang baik,” kata Chef Fikree, teruja dengan sambutan hangat dari warga MSU.
“Program hari ini sangat bagus dan bermanfaat untuk para pelajar kami. Dan semua informasi daripada para panel amat berguna buat mereka juga.
“Selain itu, cara mengatasi masalah stres dan burn out seperti yang dikongsikan panelis tadi memang berguna juga buat para pelajar,”* kata Nur Hanifah Hj. Zainul, Ketua Bahagian Jabatan Seni Kulinari MSU.


Dalam pada itu, pihak Kewpie Malaysia sebagai rakan strategik Remaja bagi program Remaja On Road kali ini juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan mesej gaya hidup sihat kepada para pelajar.
“Sebenarnya semua produk yang dihasilkan Kewpie memang bagu kerana ia tidak mempunyai bahan tambahan MSG dan bagus untuk para pelajar yang ingin menjalani kehidupan yang sihat.
“Selain itu, produk kami juga sesuai buat pelajar yang ingin menyediakan makanan secara cepat dan mudah. Jadi, saya memang sarankan kepada para pelajar di luar sana untuk mencuba Kewpie dalam penyediaan snek dan masakan korang di kampus,” ujar Hanin Nabilah Hamiddon, Penolong Pengurusan Pemasaran Kewpie.
Untuk pengetahuan anda, KEWPIE Roasted Sesame Dressing ini tidak mengandungi sebarang bahan MSG dan dijamin 100% Halal. Chef Fikree menggunakan bahan ini kerana ia mempunyai tekstur ‘dressing’ yang berkrim dengan perisa kekacang atau nutty flavour.
Manakala, KEWPIE Mayonnaise Japanese Style ini adalah mayonnaise yang diminati di Jepun sejak 1925 lagi. Produk yang dijamin 100% Halal dan mengandungi kandungan protein tertinggi di antara produk KEWPIE.
Nah! Remaja kongsikan bahan-bahan dan cara penyediaan sandwic atau burrito seperti yang ditunjukkan oleh Chef Fikree Aznan, tempoh hari.
Bahan-bahan Sandwic & Burritos
- 150 gm dada ayam (diperap dengan Kewpie Chilli Mayo dan dibakar gunakan air fryer)
- 2 biji telur (jadikannya scrambled eggs)
- 1/2 tomato (didadu)
- Jus lemon
- 1/2 bawang (didadu)
- Daun ketumbar
- KEWPIE Roasted Sesame Dressing
- KEWPIE Original Sandwich Spread
- Roti tortilla / Roti Putih
- Keju Mozarella atau Chedda
- Mentega
- Sos sampingan menggunakan KEWPIE Original Sandwich Spread + cayenne powder + madu
Cara penyediaan
- Hiris ayam yang telah dimasak.
- Masak scrambled eggs di dalam kuali dengan mentega dan masukkan hirisan ayam dan keju. Campurkannya dengan 1 sudu besar KEWPIE Roasted Sesame Dressing. Ketepikan.
- Kalau anda nak sediakan salad, menu berdaging ataupun untuk masakan seperti steamboat, grill dan pasta juga, korang boleh gunakan KEWPIE Roasted Sesame Dressing ini.
- Campurkan sayuran yang dipotong dadu dengan daun ketumbar dan jus lemon.
- Bakar roti Tortilla, sapukannya dengan KEWPIE Chilli Mayo. Selain untuk menu sandwich atau burritos ini, anda juga boleh menggunakan KEWPIE Chili Mayo ini untuk menyediakan salad atau dijadikan sos cicah.
- Gaul mixed vege tadi dengan telur ayam dan balutkan dengan roti Tortilla.
- Untuk sos, campurkan KEWPIE Original Sandwich Spread dengan Cayenne Powder + madu.
*
Sekadar info, Remaja On Road merupakan program yang diinisiatifkan oleh Remaja dan Nu Ideaktiv bagi mendekati pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Ia mengetengahkan aktiviti-aktiviti menarik seperti Youth Talk, Beauty Camp dan Remaja Talent Casting dalam suasana yang santai, penuh ilmu dan inspirasi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Saya #RemajaMalaysia : Grace Wong Penyambung Legasi Emas Sukan Olahraga Malaysia – Isu Digital Ogos 2022

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Keinginan untuk menyambung legasi bapa saudaranya yang pernah bergelar jaguh sukan olahraga pada era 90-an hingga awal 2000 begitupun tidak datang bergolek. Kudrat terpaksa dikerah dan minat sentiasa perlu ditanam agar semangat tidak mudah luntur dari hari ke hari. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Grace Wong Xiu Mei.
arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN susunan grafik AZNIZA AZIZ persalinan NEW BALANCE

Nama Grace Wong Siew Mei mungkin masih kedengaran baharu dalam kepompong dunia sukan negara. Meskipun begitu, kelibat anak kelahiran Sarikei, Sarawak ini perlahan-lahan mula menagih perhatian ramai setelah dia mula menyinari sukan olahraga menerusi bakat dan kebolehannya dalam acara lontar tukul besi.
Grace, 22 pada pengiraan REMAJA ialah di antara penerus legasi kejayaan olahraga; certainly a fresh face to watch! Tidak ramai yang mengetahui akan sejarah keluarga Grace dalam dunia sukan. Bapa saudaranya, Wong Tee Kui merupakan atlet lagenda moden yang pernah menabur jasa dan mengharumkan nama negara di peringkat Sukan SEA secara berturut-turut. Pada edisi 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001, Tee Kui merupakan pemenang pingat emas bagi acara sama yang diwakili Grace iaitu lontar tukul besi.
Tidak hairanlah apabila Grace memenangi pingat emas di Sukan SEA ke-31 di Hanoi pada tahun ini, pemerhati sukan negara mulai sedar akan persamaan yang wujud di antara Tee Kui dan gadis yang diberi panggilan Amazing Grace ini.
“Pakcik saya pernah memenangi lapan pingat emas di peringkat Sukan Sea namun pada usia muda, saya tidak tahu-menahu mengenai kehebatan beliau itu. Saya perlahan-lahan bergiat dalam sukan olahraga di bangku sekolah rendah disebabkan saiz badan saya.
“Ya, badan saya lebih besar berbanding rakan-rakan sedarjah yang lain dan cikgu saya pada waktu itu ingin membantu saya pergi lebih jauh. Saiz badan ini adalah satu kelebihan, kata mereka. Jadi, ibu bapa pun membenarkan saya menyertai olahraga menerusi acara lontar peluru. Barulah saya sedar selepas beberapa tika yang pakcik saya juga pernah bergelar jaguh olahraga sebelum ini,” kongsinya sewaktu di set penggambaran.

Kehilangan Ibu
Di sebalik kejayaan meraih emas pertamanya di Sukan SEA sewaktu edisi Kuala Lumpur 2017, Grace terpaksa menelan lumrah kehidupan pada usia semuda 17 tahun apabila dia kehilangan insan paling disayanginya.
Ibu Grace, Lina Awaru yang berasal dari Papua New Guinea menghembuskan nafas terakhirnya empat bulan sebelum kejohanan tersebut. Berita pemergian beliau itu diterima Grace sewaktu dia berada di Korea Selatan bagi menjalani kem latihan selama dua bulan.
Dalam nada sebak, Grace mengakui tugasnya sebagai seorang atlet negara hadir dengan pengorbanan besar yang perlu ditanggungnya iaitu faktor masa bersama keluarga yang semakin menipis.
“Saya rasa semua (atlet) ada pengalaman seperti saya. Kami kekurangan masa untuk bersama dengan keluarga. Saya kehilangan ibu saya pada tahun 2017 dan saya rasa sedikit bersalah kerana tidak dapat menemaninya pada waktu tersebut.
“Atas faktor kehilangan itu juga, saya rasa saya perlu bekerja lebih keras untuk ke peringkat yang lebih tinggi agar dia tidak akan rasa kecewa.
“Saya rasa mendiang ibu saya berbangga kerana hingga sekarang, saya tidak berputus asa untuk memberikan yang terbaik untuk negara,” ujarnya. Berkat kesabaran dan kecekalan hati Grace itu juga, dia terus memacu langkah ke hadapan dan baru-baru ini telah lolos ke saingan akhir temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal Ogos lalu.
Isu Pemotongan Elaun Atlet
Menyentuh mengenai rungutan pemotongan elaun atlet kebangsaan yang pernah diungkitkan tahun ini, penulis sempat mendapatkan pendapat pemegang rekod kebangsaan ini sama ada isu peruntukan dana ini benar-benar menyekat momentum seseorang atlet itu.
Grace melihat isu potongan elaun ini mempunyai efek domino yang akhirnya akan mempengaruhi prestasi di gelanggang.

“Disebabkan elaun rendah, ramai atlet tidak berkesempatan menyertai program PODIUM (program persediaan atlet elit berdedikasi negara di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dengan objektif keseluruhan untuk mencapai kecemerlangan sukan untuk negara) dan menyebabkan mereka berputus asa atau mereka tersepit dengan faktor penurunan prestasi.
“Grace bertuah kerana mendapat bantuan daripada pihak IPT dan Kementerian Belia & Sukan. Namun tidak semua atlet mendapat peluang yang sama. Seseorang atlet memang sangat-sangat memerlukan bantuan wang berjaya. Kami korbankan masa kami demi sesi latihan sekaligus tiada peluang melakukan inisiatif lain untuk menjana pendapatan.
“Kerajaan sewajarnya mencari jalan terbaik untuk menyediakan peruntukan dana secukupnya untuk menampung keperluan atlet-atlet negara selain mendapatkan lebih banyak peluang bagi menyertai pertandingan di luar negara bagi mengukuhkan prestasi serta pengalaman kami,” tegasnya.

Makna Kebebasan
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 esok, penulis bertanya kepada Grace mengenai makna dan nilai kebebasan buat dirinya.
“Bagi saya, kebebasan itu sangat penting. Tanpa kebebasan bersuara, sukar untuk anak muda menjadi lebih ekspresif dan bersifat terbuka. Cumanya, janganlah kita bertindak di luar batasan dalam apa jua situasi,” jawabnya ringkas.
Ikuti makna menjadi seorang #RemajaMalaysia bersama Grace Wong dalam pautan video temubual REMAJA bersamanya.
Sertai pertandingan Penulisan Esei & pertandingan Pengucapan Awam yang dianjurkan oleh REMAJA dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka bermula 8 Ogos 2022 hingga 18 September 2022. Klik pada pautan Peraduan untuk maklumat lanjut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

